JENAYAH & MAHKAMAH

Jabatan Imigresen Tahan 171 Warga Asing Dalam Operasi Di Masjid India

29/07/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 171 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Masjid India di sini hari ini. 

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM Basri Othman berkata operasi sejam bermula pada 12 tengah hari itu melibatkan 160 pegawai yang memeriksa 758 individu termasuk 254 warga tempatan dan 14 premis perniagaan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga India, Bangladesh dan Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam sidang media selepas operasi itu.

Beliau berkata terdapat warga asing yang cuba menyamar sebagai pelanggan dan melakukan provokasi namun taktik itu berjaya dipatahkan.

"Anggota kami berada di kawasan itu sejak 10 pagi untuk mengenal pasti pekerja asing dan pelanggan sebenar," katanya sambil menambah semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Sementara Millenium di Beranang, Selangor.

Basri berkata ini adalah operasi kedua di kawasan itu selepas 15 Feb lalu dan akan diteruskan bagi memperkukuh penguatkuasaan selain memastikan pematuhan oleh majikan serta pekerja asing.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan