AM

Kerajaan Laksana Pendekatan Bersepadu Tangani Jenayah Seksual Kanak-kanak

29/07/2025 04:06 PM

PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, susulan peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang melonjak 53.2 peratus dalam tempoh empat tahun.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Sosial Negara (MSN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh, tegas dan berkesan.

Beliau berkata mengikut statistik, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak melonjak daripada 2,541 kes pada tahun 2020 kepada 3,892 kes pada tahun 2024, peningkatan sebanyak 53.2 peratus.

“Jumlah mangsa juga meningkat daripada 2,561 orang kepada 3,988 orang, iaitu peningkatan 55.7 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini.

Ahmad Zahid berkata perkembangan teknologi dan revolusi industri telah memperlihatkan modus operandi jenayah yang semakin canggih, termasuk penggunaan teknologi deepfake dan pencurian identiti digital.

Antara langkah lain yang dirancang termasuk penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak: Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual pada November depan.

Mesyuarat hari ini juga telah meneliti pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 dan pembangunan Pelan Tindakan 2026-2030 yang kini di fasa akhir dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Oktober ini.

Ahmad Zahid berkata isu gelandangan yang mengalami gangguan mental tetapi terlepas daripada intervensi rawatan akibat ketiadaan penempatan khas, turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Majlis menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan untuk menubuhkan pasukan petugas bagi membina rumah jagaan kejururawatan psikiatri,” katanya.

Turut dibincangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras isu pendaftaran, keselamatan, kesihatan serta strategi kurikulum dan tenaga pengajar.

Selain itu, mesyuarat turut meneliti isu ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan, memandangkan laporan Jabatan Perangkaan menunjukkan seramai 2.06 juta graduan kini bekerja dalam sektor yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka.

“Bagi menangani isu ini secara strategik, inisiatif MyMAHIR yang diterajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp telah dilancarkan dan setakat ini, sebanyak 66 program latihan berteraskan industri telah diluluskan di bawah Majlis Bakat Kemahiran Masa Hadapan MyMAHIR, merangkumi sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan ekonomi hijau.

“Program ini bukan sahaja menyediakan latihan berkemahiran tinggi, malah disertakan jaminan pekerjaan dengan purata gaji permulaan RM3,000 sehingga RM6,000 sebulan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata bagi keanggotaan MSN mulai tahun ini telah diperluas melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bagi memperkukuh impak pelaksanaan dasar

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan