AM

MCMC Keluarkan 279 Arahan Terhadap Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih Gagal Patuhi Piawaian

29/07/2025 03:20 PM

PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan sebanyak 279 Arahan Suruhanjaya kepada pelbagai penyedia perkhidmatan mudah alih di seluruh negara, berikutan ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

MCMC memaklumkan arahan itu, selaras dengan Penentuan Suruhanjaya No. 2 Tahun 2023 yang bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi piawaian minimum bagi perkhidmatan akses jalur lebar tanpa wayarm termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.

“Daripada jumlah itu, 154 arahan dikeluarkan kepada YTL Communications, diikuti CelcomDigi (50), TM Technology Services (38), U Mobile (27) dan Maxis (10),” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan MCMC, pemantauan berterusan mendapati kegagalan beberapa penyedia perkhidmatan dalam aspek-aspek kritikal antaranya kelajuan muat turun; kependaman rangkaian; kehilangan data; ketersediaan perkhidmatan.

Aspek lain termasuk masa capaian laman web dan masa capaian penstriman video.

MCMC memaklumkan penyedia perkhidmatan yang gagal mengambil tindakan penambahbaikan dalam tempoh ditetapkan, boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 bagi setiap ketidakpatuhan seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 105(5), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta A1743).

Sejak 2022, sejumlah 984 Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan iaitu 229 arahan pada 2022, 208 arahan pada 2023, tiada arahan pada 2024 kerana kelulusan hanya diperoleh pada awal 2025 manakala 547 arahan pada tahun ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai MSQoS dan senarai penuh arahan yang telah didaftarkan, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan