KOTA KINABALU, 29 Julai (Bernama) -- Pengamal media Abd Naddin Shaiddin, yang juga bekas wartawan kanan Utusan Borneo, menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA di sini hari ini.
Abd Naddin, 57, yang berkhidmat dengan Utusan Borneo dari 1994 hingga 2021, mengalami strok ringan pada Oktober 2023 dan kini masih menjalani rawatan serta dalam fasa pemulihan.
Beliau merupakan penerima keseluruhan ke-464 Tabung Kasih@HAWANA dan penerima ke-24 di Sabah, menerima sumbangan berkenaan daripada Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sabah Fadzli Ramli di Pejabat Bernama Biro Sabah, di sini.
Abd Naddin yang berasal dari Kota Belud berkata beliau terharu dan gembira menerima bantuan itu yang akan digunakan untuk kos perubatan termasuk rawatan akupuntur, selain perbelanjaan keluarga.
"Saya mengalami penyakit strok ringan yang menyebabkan saya tidak boleh menggenggam tangan dan ia menjejaskan pemikiran serta percakapan. Alhamdulillah, setelah menjalani beberapa kali rawatan, keadaan sudah hampir pulih," katanya kepada Bernama.
Beliau turut berharap agar lebih ramai pengamal media semasa dan veteran yang berdepan cabaran dapat menerima perhatian dan bantuan daripada Tabung Kasih@HAWANA pada masa akan datang.
Tabung Kasih@HAWANA ialah inisiatif yang mencerminkan semangat MADANI dalam mengangkat nilai ihsan dan keprihatinan, khususnya kepada pengamal media yang pernah menyumbang kepada masyarakat, tetapi kini diuji dengan cabaran hidup dan kesihatan.
Dilancarkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, tabung berkenaan digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial