JOHOR BAHRU, 24 (Bernama) -- Keunikan produk usahawan mikro dan kecil dari seluruh negara dijangka menjadi tarikan utama Karnival Kita MADANI sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar selama tiga hari bermula esok.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan berkata produk makanan tradisional dan kraf tangan melambangkan identiti setiap negeri serta produk herba, kosmetik dan inovasi tempatan berkualiti akan ditampilkan menerusi 14 reruai keusahawanan Komuniti MADANI.
‘’Reruai Komuniti MADANI ini menjadi platform penting untuk kita memperkenalkan keunikan setiap negeri dan keupayaan anak tempatan dalam bidang keusahawanan,’’ katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu berkata orang ramai berpeluang untuk mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga yang berpatutan di program Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI serta Jualan Kasih Johor.
‘’Selain itu, menerusi Food Truck Selera MADANI, pengunjung boleh menikmati pelbagai menu makanan Johor dan makanan viral yang dibawakan khas oleh hampir 15 pengusaha trak makanan,’’ katanya.
Julina berkata pelbagai aktiviti menarik turut menanti pengunjung seperti Pertandingan Bintang Suara MADANI, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Fiesta Seni MADANI dan Pameran Interaktif serta perkhidmatan bergerak kerajaan.
Pelbagai program sisipan lain diadakan iaitu Bakti Komuniti MADANI di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah pada 26 Julai, sementara Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk serta Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 pula pada 27 Julai di dataran berkenaan.
‘’Pemukiman Komuniti MADANI pula diadakan di Mini Stadium Bistari Ayer Keroh, Melaka pada 26 Julai,’’ katanya.
Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial