AM

Malaysia Fokus Perkukuh Gagasan Ekonomi ASEAN, Perkasa Dagangan Serantau

24/07/2025 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Malaysia memberi tumpuan kepada pengukuhan gagasan ekonomi ASEAN dengan meningkatkan dagangan intra-ASEAN bagi memastikan kesinambungan agenda rantau itu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, tumpuan kini diberikan kepada pengukuhan ekonomi serantau bagi mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang tradisi luar ASEAN.

“Kita tidak boleh bergantung sangat kepada negara-negara tradisi menjadi rakan dagang kita dan di dalam ASEAN itu sendiri, dagangan antara negara anggota amat rendah, tidak sampai 25 peratus.

“Makanya telah dibuat gagasan kerana kita hendak pastikan supaya dagangan di antara negara ASEAN itu sendiri dipertingkatkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai inisiatif utama yang telah dan bakal dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan agenda ASEAN pasca kepengerusian Malaysia.

Mohamad berkata antara inisiatif utama yang digerakkan termasuk pelaksanaan Visi ASEAN 2045, iaitu pelan jangka panjang 20 tahun yang bertemakan “Masa Depan Kita Bersama” dengan matlamat untuk memantapkan kekuatan ekonomi ASEAN agar lebih seimbang dengan kekuatan politik sedia ada.

“Kita perlu memperkasakan kegiatan ekonomi sesama sendiri, kalau kita dapat tambah sehingga 30 atau 40 peratus pun, ia satu pencapaian yang besar,” katanya.

Bagi tujuan itu, Mohamad berkata Malaysia juga mengambil langkah untuk mempelbagaikan pasaran melalui penyertaan dalam blok BRICS, yang merangkumi lebih 40 peratus populasi dunia dan 25 peratus   Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global, selain turut mendorong kerjasama segi tiga strategik antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

“Tiga blok yang besar ini, jika dapat kita rangkumkan dengan baik, maka kita mempunyai masa depan yang amat baik. Negara Teluk mempunyai kuasa beli dan sumber yang banyak, ASEAN mempunyai tenaga kerja dan sumber asli yang banyak dan China pula mempunyai pasaran yang besar.

“Segi tiga ini kalau kita dapat eratkan dengan begitu baik, keberuntungan ekonomi itu amat besar kepada negara ASEAN khususnya Malaysia, insya-Allah,” katanya.

Menjawab soalan asal Manndzri sejauh mana Malaysia berpuas hati dengan pencapaian dasar luar negara sepanjang tempoh kepengerusian ASEAN terutamanya dalam aspek mengukuhkan perpaduan, Mohamad berkata isu Myanmar terus menjadi cabaran utama kepada ASEAN dalam memastikan kestabilan dan keamanan serantau.

Beliau menyifatkan konflik dalaman Myanmar sebagai “duri dalam daging” yang mencabar kredibiliti ASEAN dalam memperjuangkan keamanan dan hak asasi manusia, apatah lagi apabila krisis itu berlaku dalam lingkungan negara anggota.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menjalankan pelbagai usaha bagi mengenal pasti pendekatan damai yang boleh diambil bersama.

Mohamad berkata keutamaan ASEAN ketika ini adalah menjayakan Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui semua negara anggota, bukannya mengiktiraf pilihan raya unilateral yang dirancang oleh Junta Myanmar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan