AM

Malaysia Sasar Pemindahan Teknologi Pertahanan Turkiye Akhir Tahun Ini

24/07/2025 08:46 AM

Daripada Mohd Adli Shahar

ISTANBUL, 24 Julai (Bernama) -- Malaysia menyasarkan pemindahan teknologi pertahanan dari Turkiye dalam beberapa bidang yang dikenal pasti menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata pemindahan teknologi penting bagi membangunkan industri pertahanan negara yang diterajui syarikat tempatan, antaranya dalam bidang sistem pengurusan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) persenjataan tentera laut serta pengoperasian sistem pesawat tanpa pemandu (UAS).

“Kita telah kenal pasti syarikat dari Malaysia yang akan bertemu dengan syarikat dari Turkiye bagi merangka bentuk kolaborasi dan kerjasama yang sesuai,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dengan Presiden Sekretariat Industri Pertahanan (SSB) Prof Dr Haluk Gorgun sempena Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 yang sedang berlangsung di sini.

SSB merupakan agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan industri pertahanan dan teknologi ketenteraan di Turkiye.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Turkiye Yasar Guler bagi membincangkan kerjasama pertahanan, antaranya berhubung penghantaran pegawai dan anggota tentera Malaysia untuk menjalani latihan termasuk sebagai juruterbang.

“Kami juga membincangkan pendekatan diplomasi pertahanan yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara dalam usaha mewujudkan persefahaman dengan negara lain serta mengelakkan sebarang konflik,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Industri Pertahanan Azerbaijan Vugar Mustafayev dan membincangkan cabaran dalam aspek pertahanan dan ketenteraan yang dihadapi negara-negara Islam.

Beliau juga bertemu Menteri Pertahanan Sudan Hassan Daoud Kayan, dengan Malaysia menyatakan kesediaan untuk menawarkan latihan dalam bidang pertahanan dan ketenteraan kepada negara berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled meluangkan masa melawat beberapa reruai syarikat industri pertahanan yang mempamerkan aset masing-masing sempena IDEF 2025, diiringi Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen persetujuan oleh syarikat-syarikat Turkiye yang akan menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau juga menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan Turkiye dalam pelbagai bidang berkaitan pertahanan dan ketenteraan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan