AM

Pemberian RM100, Peningkatan Peruntukan Jualan Rahmah Inisiatif Tepat, Ringankan Beban Rakyat

23/07/2025 02:41 PM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Inisiatif pemberian RM100 sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas serta peningkatan peruntukan Jualan Rahmah MADANI, disifatkan sebagai langkah tepat dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, mencerminkan pendekatan bersasar dan menyeluruh kerajaan dalam menangani isu yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.

“Keseluruhannya, ia pengumuman sangat wajar dan tepat pada waktunya terutama inisiatif RM100 di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta peningkatan peruntukan Jualan Rahmah MADANI,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal  Bandar Tun Razak Zaini Zakaria menyifatkan bantuan RM100 itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah dan menyokong inisiatif itu diteruskan.

Bagaimanapun, ibu tunggal berusia 66 tahun itu berharap kerajaan mempertimbangkan peluasan skop pembelian menggunakan SARA kepada barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran yang turut menjadi keperluan asas harian.

“Kalau boleh beli barang basah pun bagus juga. Kadang-kadang belanja dapur paling besar datang daripada barang mentah, bukan saja barang kering,” katanya.

Pemandu peribadi Nor Azreen Nabila Mohd Maliki, 30, turut menyambut baik langkah kerajaan mengekalkan kadar tol dan harga bahan api, kerana ia memberi kelegaan kepada rakyat yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja.

Beliau berkata kos bahan api serta tol merupakan antara perbelanjaan tetap yang membebankan.

“Langkah kerajaan menangguhkan kenaikan tol dan mengekalkan harga bahan api amat saya hargai. Perjalanan saya memang jauh setiap hari, jadi bila kos ini dapat dijimatkan, memang terasa bantuannya,” katanya.

Bagi jurutera syarikat swasta Lee Wei Choon, 48, bantuan SARA yang diterima kali ini dianggap selari dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Saya berasa terharu kerana ini kali pertama kami golongan M40 mendapat manfaat langsung daripada kerajaan. Selama ini kami rasa, kami hanya sebagai pembayar cukai, tapi kali ini atas semangat Hari Kebangsaan, saya pun dapat merasa bertuahnya kami menjadi rakyat Malaysia.

“Lagi pula, saya ada banyak pilihan pasar raya dan lokasi untuk membelanjakan bantuan ini. Inisiatif diumumkan PM bukan sahaja meringankan kos sara hidup tetapi memudahkan kami memanfaatkannya,” kata bapa kepada dua anak perempuan itu.

Perdana Menteri dalam pengumuman hari ini berkata pemberian RM100 itu disalurkan melalui MyKad di bawah Program SARA dan bakal memanfaatkan seramai 22 juta warganegara dewasa dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2 bilion.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup rakyat dan menghargai sumbangan mereka kepada negara.

Dalam masa sama, peruntukan Jualan Rahmah MADANI ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta tahun ini, berbanding RM300 juta yang telah disediakan sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan