AM

Jualan Rahmah MADANI Diperbanyak, Peruntukan Ditingkat Sekali Ganda - PM Anwar

23/07/2025 11:55 AM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Peruntukan Jualan Rahmah MADANI ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta tahun ini berbanding RM300 juta yang telah disediakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan tambahan itu antaranya akan meningkatkan kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selain itu, ia (peruntukan tambahan) memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat," kata beliau ketika mengumumkan penghargaan untuk rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran media utama negara di sini hari ini.

Anwar berkata ikhtiar MADANI di peringkat akar umbi akan terus diperhebat, selari dengan penekanan kerajaan sejak tahun lepas agar para pemimpin turun padang dan memberi tumpuan kepada usaha yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat di peringkat komuniti.

Perdana Menteri berkata Sejati MADANI dilaksanakan dengan menyalurkan hingga RM100,000 kepada komuniti dan memberi mereka bebas untuk menentukan aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan. 

“Setakat ini Sejati MADANI berjaya membenih lebih 8,600 kegiatan ekonomi komuniti di peringkat kampung,” kata beliau. 

Anwar berkata Kampung Angkat MADANI juga telah memberi manfaat kepada rakyat di peringkat komuniti iaitu penglibatan daripada 40 kampung kepada 200 kampung tahun ini.

Beliau berkata kerajaan juga melancarkan Sekolah Angkat MADANI atas rasa tanggungjawab memastikan pendidikan anak-anak pada tahap terbaik.

Perdana Menteri berkata kerajaan menetapkan sasaran untuk mencapai 1,000 sekolah angkat menjelang akhir tahun ini susulan sambutan luar biasa yang diterima terutamanya daripada sektor korporat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan