KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Sebanyak 60 ketua pelajar dari sekolah-sekolah di Perlis menjadi kumpulan pertama peserta Program Sekolah Parlimen 2025 yang berlangsung di Bangunan Parlimen, hari ini.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, program dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) itu, bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah tentang mengenai demokrasi berparlimen dan proses penggubalan dasar negara.
Antara objektif lain termasuk menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar sekolah, menanam semangat kecintaan kepada institusi negara, serta memupuk rasa tanggungjawab sivik dan nilai integriti dalam kalangan generasi muda.
“Mereka terlibat dalam simulasi persidangan, sesi lawatan berpandu, dialog bersama Ahli Parlimen dan pemimpin muda, serta aktiviti kefahaman mengenai institusi Parlimen.
“Program ini akan berlangsung secara berfasa bermula 21 Julai hingga 4 Dis 2025, selaras dengan jadual penggal persidangan Dewan Rakyat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan dianggarkan lebih 1,000 pelajar dari seluruh negara akan mengikuti program berkenaan menjelang akhir tahun ini.
Sekolah Parlimen merupakan langkah strategik jangka panjang Parlimen Malaysia, dalam memperkukuh institusi demokrasi melalui pendidikan sivik dan penglibatan belia.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini berkata program itu, antara langkah reformasi institusi yang dilaksanakan Parlimen Malaysia dalam memupuk minat serta kefahaman rakyat terutama golongan muda terhadap institusi legislatif negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial