AM

Bomba Pantau 24 Jam Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Di Kuantan

22/07/2025 05:43 PM

KUANTAN, 22 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang melakukan pemantauan 24 jam di tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor, Mukim Sungai Karang di sini bagi memastikan kebakaran yang berlaku tidak merebak ke lokasi berisiko. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng Zahidah Ali berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran di kawasan berkeluasan hampir satu hektar itu pada 5.30 petang semalam dengan pemantauan terus dilakukan 40 anggota dan pegawai yang ditugaskan mengikut dua syif.

Beliau berkata ini perlu memandangkan kawasan kebakaran itu terletak tidak jauh daripada saluran paip gas, pencawang elektrik dan kabel gentian optik bawah tanah.

“Kita terus melakukan teknik fire break atau memisahkan kawasan kebakaran ketika memulakan operasi di situ dengan risiko untuk (api) merebak ke kawasan berkenaan juga adalah rendah. 

“Selain itu, pihak berkepentingan turut bersama mengambil tindakan membuat kerja-kerja pemantauan bagi mengelakkan kebakaran merebak, “katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Zahidah berkata pihak kontraktor turut menimbus tanah di atas timbunan sampah untuk mengurangkan asap manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan yang turut menjejaskan jarak penglihatan pengguna jalan raya di kawasan terbabit. 

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan kebakaran sejak Ahad itu menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di Balok Baru, Kuantan dan Kemaman, Terengganu.

Pada 8 pagi tadi, IPU yang direkodkan di Balok Baru ialah 139 namun menurun kepada bacaan sederhana 96 pada 3 petang tadi. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan