KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi libat urus lanjutan bersama golongan peniaga di Desa Pandan berkaitan projek naik taraf infrastruktur di kawasan itu, esok.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata libat urus yang dijadual pada 3 petang itu, akan disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Saya telah berbincang dengan Dr Zaliha dan Datuk Seri Johari termasuk rakan-rakan di DBKL, dan kita tiada masalah untuk turun padang bertemu peniaga,” katanya dalam sidang media selepas mengiringi Menteri Digital Gobind Singh Deo melawat Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) di sini hari ini.
Maimunah berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai perkembangan projek naik taraf menerusi inisiatif ‘Lestari Niaga’ di Jalan 2/76, Desa Pandan di sini, yang dilaporkan kerja perobohan struktur dijadual dilaksanakan pada 15 Julai lepas, terpaksa ditangguhkan susulan berlaku kekecohan di tapak operasi.
Khamis lepas, media melaporkan Dr Zaliha mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL segera mengadakan rundingan bersama peniaga terlibat di kawasan berkenaan serta memberikan pilihan lokasi perpindahan yang sesuai.
Maimunah turut menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa DBKL bersifat pilih kasih dalam menjalankan tugas termasuk dalam tindakan perobohan struktur.
Beliau berkata sebarang keputusan termasuk kerja meroboh dibuat selepas melihat aspek teknikal, berpandukan data, soal aliran trafik serta melakukan kajian impak yang turut merangkumi empat sesi libat urus bersama penduduk.
“Cadangan pelebaran jalan ini (di Desa Pandan) bermula 2017 lagi atas aduan penduduk bahawa jalan sempit sesak dan sebagainya.
“Dari situ juga DBKL buat kajian, mencari alternatif untuk selesaikan isu diutarakan penduduk dan dalam setiap sesi libat urus itu, kita ambil maklum terhadap setiap bantahan dan lakukan pindaan (pada pelan),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial