AM

Felcra Disyor Kaji Semula Perolehan Ladang Sawit, Pastikan Pelaburan Menguntungkan - LKAN

21/07/2025 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Jabatan Audit Negara mencadangkan perolehan ladang sawit di bawah Pelan Transformasi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad dikaji semula bagi memastikan pelaburan memberikan ‘value for money’ berdasarkan kemampuan kewangannya. 

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Lembaga Pengarah FELCRA Berhad disyorkan supaya bertanggungjawab memastikan perolehan ladang sawit adalah teratur selaras dengan kewajipan fidusiari serta amalan tatakelola yang baik.

Selain itu, pihak audit juga mengesyorkan agensi berkenaan agar membuat penambahbaikan proses tadbir urus dan semua keputusan berkaitan perolehan ladang sawit diputuskan secara kolektif dan selaras dengan resolusi terdahulu serta Perlembagaan Syarikat.

“Sebarang perubahan kepada keputusan Lembaga Pengarah perlu direkod dan mendapat pengesahan melalui resolusi baharu yang jelas serta diminitkan secara teratur dan didokumenkan dengan sewajarnya oleh Setiausaha Syarikat selaras dengan Constitution of FELCRA Berhad.

“Selain itu, FELCRA Berhad juga perlu menetapkan garis masa minimum antara kelulusan dan pelaksanaan perjanjian untuk memberi ruang penilaian risiko dan semakan sewajarnya,” menurut laporan itu.

Turut disyorkan adalah pindaan Manual Perolehan yang berkuat kuasa pada September 2024 perlu ditambah baik meliputi pelantikan perunding luar yang berkelayakan bagi melaksanakan penilaian daya maju serta penilaian nilai pasaran secara objektif sebelum membuat sebarang keputusan perolehan.

Laporan perunding luar tersebut mesti dibentang kepada Lembaga Pengarah sebagai dokumen sokongan penting dalam membuat keputusan pelaburan.

Selain itu, kajian menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menilai aspek kewangan seperti titik pulang modal, pulangan pelaburan (ROI), kos tersembunyi, liabiliti pajakan, dan keperluan pemulihan fizikal sebelum memuktamadkan sebarang kelulusan.

“Pemeriksaan dan perakuan status aset alih dilaksanakan sebelum dan semasa proses penyerahan vacant possession ladang kelapa sawit bagi memastikan pemilikan aset seperti yang disenaraikan dalam perjanjian.

“Pengesahan aset fizikal, penyediaan daftar aset yang lengkap ke atas semua jentera dan kemudahan ladang turut dilaksana sebagaimana dinyatakan dalam perjanjian berkenaan,” menurut laporan itu.

Laporan penuh boleh diakses di pautan https://lkan.audit.gov.my/.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan hari ini berkata terdapat kelemahan tatakelola terhadap perolehan pajakan empat ladang sawit oleh FELCRA Berhad iaitu Estet Telupid, Sabah dan Estet Dabong, Estet Sungai Raiwt 2 serta Estet Aring di Kelantan melibatkan nilai RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan