AM

SWCorp Pasang CCTV Pantau Aktiviti Pembuangan Sampah Haram Di Melaka

20/07/2025 02:37 PM

MELAKA, 20 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka komited menyelesaikan aktiviti pembuangan sampah haram dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau dan mengesan pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya Nor Zaki Md Nor berkata setakat ini, empat daripada keseluruhan 12 lokasi di sekitar negeri itu dikenal pasti sebagai tapak pembuangan sampah haram berulang telah dipasang CCTV secara mobile (mudah alih).

Beliau berkata lokasi berkenaan ialah Telok Mas, Alor Gajah, Batu Berendam serta Jasin dan inisiatif itu akan dilaksanakan di beberapa lokasi lain secara berperingkat.

"Pemasangan CCTV ialah inisiatif baharu yang kita laksanakan bermula tahun ini supaya perbuatan tidak bertangggungjawab itu dapat dibanteras sekali gus mengenal pasti pelaku terlibat dan memudahkan tindakan pendakwaan.

"Setakat ini, kita dapat lihat keberkesanan langkah itu dan pembuangan sampah haram dapat dikurangkan antara 60 hingga 70 peratus sehingga tapak terlibat ditutup daripada terus dijadikan tempat pembuangan sampah," katanya kepada pemberita di Kampung Pengkalan Rama Tengah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Gotong-royong Cuci Duyong sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Nor Zaki berkata kebanyakan tapak pembuangan sampah haram itu menjadi kawasan pembuangan sisa pepejal bagi sektor pembinaan dan komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) melibatkan operator yang melaksanakan kerja-kerja pembersihan tidak berlesen.

Beliau berkata pada tahun lepas terdapat satu kes melibatkan aktiviti pembuangan sampah haram berjaya didakwa di mahkamah yang memperuntukkan denda sebanyak RM20,000.

Dalam pada itu, beliau berkata Kempen Bandar Bersih sedang dilaksanakan dengan memberi tumpuan pembersihan di kawasan pekan atau bandar sempena Program WRUR.

"Kempen berkenaan melibatkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh tanpa mengambil kira sama ada ia dalam kawasan perkhidmatan kita atau tidak," katanya.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata program gotong-royong berkenaan melibatkan penyertaan 180 orang terdiri petugas SWM Environment, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat.

Beliau berkata pemilihan Kampung Pengkalan Rama Tengah bagi menyelesaikan isu pembersihan bukan di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan SWM Environment.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan