AM

Pendekatan Maori Model Majukan Pelancongan, Sosioekonomi Orang Asli - Ahmad Zahid

15/07/2025 03:32 PM

Daripada Ahmad Erwan Othman

ROTORUA (New Zealand), 15 Julai (Bernama) -- Kejayaan komuniti Maori membangunkan perkampungan mereka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia membuka peluang kepada Malaysia untuk mencontohi model tersebut dalam usaha memajukan kawasan Orang Asli.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meninjau sendiri perkampungan tradisional Maori di Rotorua itu berkata beliau melihat potensi besar untuk Malaysia mencontohi pendekatan dan idea sama yang boleh dimanfaatkan di tanah air.

“Insya-Allah, akan wujud satu kawasan di Melaka yang didedikasikan sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa untuk komuniti Orang Asli,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Meja Bulat bersama pemimpin perniagaan komuniti Maori di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang kini dalam lawatan kerja lima hari ke New Zealand, meneruskan program hari keduanya hari ini dengan berkunjung ke Rotorua yang merupakan sebuah bandar pelancongan budaya dan geoterma terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Bandar Auckland.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau telah mendapat persetujuan daripada exco dari Melaka yang terlibat menjaga hal ehwal Orang Asli untuk merealisasikan usaha tersebut.

Beliau berkata pendekatan inklusif kerajaan terhadap komuniti minoriti seperti Orang Asli ini membuktikan iltizam kerajaan MADANI dalam memastikan tiada kelompok masyarakat tercicir daripada arus pembangunan.

Ahmad Zahid berkata walapun lebih 70 peratus penduduk New Zealand mempunyai pertalian darah dengan masyarakat Maori hasil perkahwinan campur dan faktor lain, kerajaan negara itu tetap komited menjaga kebajikan komuniti pribuminya.

“Walaupun JAKOA mengurus Orang Asli sebagai kumpulan minoriti, kerajaan MADANI tetap memberi perhatian dan keutamaan kepada mereka.

“Saya akan pastikan komuniti ini tidak ketinggalan, dan terus dibela secara berstruktur,” katanya.

Semasa lawatan kerja berkenaan, Ahmad Zahid bersama delegasi turut melawat perkampungan budaya Whakarewarewa Living Maori Village, serta melawat Onuku Farm, ladang ternakan biri-biri dan tenusu, bagi meninjau amalan terbaik dalam industri pertanian dan ternakan yang boleh dicontohi serta diadaptasi untuk manfaat sektor luar bandar di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan