KUALA NERUS, 14 Julai (Bernama) -- Warga Jabatan Kerja Raya (JKR) diingatkan supaya tidak tunduk kepada persepsi negatif atau kecaman terutama di media sosial, sebaliknya terus mengekalkan komitmen, integriti dan profesionalisme dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kecaman demi kecaman sering dilemparkan kepada kementerian berkenaan dan JKR.
Beliau berkata kecaman itu diterima apabila melibatkan bencana terhadap infrastruktur awam dan nyawa orang awam seperti kemalangan ngeri mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak bulan lepas.
“Kami turut berduka, namun sering kali kami dipersalahkan walaupun faktornya berbeza mengikut situasi… seperti kemalangan bas di Gerik bulan lepas, ada yang mengatakan bas itu tumbang dan dikatakan besi penghadang jalan menembusi bahagian badan bas serta menyebabkan kehilangan nyawa.
“… tetapi yang sebenarnya bas itu laju dan tumbang serta menghempap besi penghadang itu… Ini adalah hakikat sebenar yang tidak diketahui umum atau diputarbelitkan seolah-olah penghadang itu sangat-sangat berbahaya. Memang ada elemen (penghadang jalan) yang mungkin berbahaya tetapi alternatifnya buat masa sekarang kita belum lagi pakai. Jadi, kita tengok lah reka bentuk yang lain nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JKR Malaysia (SOC) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pengarah JKR Datuk Roslan Ismail dan Pengarah JKR Terengganu Ir Dr Hasli Ibrahim.
Dalam pada itu, Nanta berkata meskipun pelbagai tindakan pantas dan mitigasi dilaksanakan oleh JKR, namun masih ada isu atau aduan seperti berkaitan jalan raya sering kali dijadikan bahan sensasi atau ‘modal’ oleh warganet di media sosial.
Justeru, Nanta menyeru seluruh warga JKR supaya bangkit dan terus membuktikan kepada orang awam melalui penyampaian perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan ketelusan bagi menepis segala tohmahan.
Terdahulu, sebanyak 400 pegawai kanan JKR seluruh negara melibatkan pengurusan tertinggi, jurutera daerah dan pegawai kader menghadiri SOC 2025 yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini.
Bertemakan JKR Mampan: Memacu Kelestarian MADANI, persidangan secara tahunan itu menjadi platform penyatuan pemikiran kritis dan aspirasi pegawai-pegawai kanan JKR demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan secara mampan dan holistik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial