AM

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan 2025 Tampil Pelbagai Program Manfaat Rakyat

14/07/2025 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai, akan menampilkan pelbagai program menarik yang memberi manfaat kepada rakyat khususnya komuniti setempat.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata majlis yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap rakyat selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 iaitu “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.”

Beliau berkata antara program sampingan sempena majlis pelancaran ialah Karnival Kita MADANI, yang akan membawa perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat bermula 25 hingga 27 Julai.

“Karnival ini sama seperti mini Program MADANI Rakyat, kita membuka reruai mengenai inisiatif kerajaan serta menyediakan perkhidmatan bergerak seperti reruai Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Majlis Perbandaran Muar dan Klinik Pergigian Bergerak.

“Ada juga penganjuran beberapa pertandingan seperti nyanyian bakat MADANI, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan fiesta seni,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia hari ini.

Mohamad Fauzi berkata usahawan komuniti MADANI juga diberi peluang untuk mempromosikan produk mereka, semasa Karnival Kita MADANI itu. 

Beliau berkata antara acara utama semasa hari pelancaran ialah Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, yang melibatkan 93 kenderaan terdiri daripada tiga aset Jabatan Penerangan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (lapan), agensi dan jabatan kerajaan negeri Johor (10), kelab permotoran BMW Johor (30) serta 42 penyertaan daripada ekonomi gig.

Turut diadakan Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk, yang jarak itu dipilih sempena 68 tahun kemerdekaan negara dan ia terbuka kepada semua dengan pendaftarannya adalah percuma.

“Kita anggarkan jumlah peserta seramai 3,000 orang. Bagi 1,000 peserta pertama akan disediakan kemeja-T percuma manakala 1,000 medal untuk 1,000 peserta yang sempurnakan larian dan cabutan bertuah,” katanya.

Selain itu, 56 aset pengangkutan air akan menyusuri Sungai Muar bagi menyerikan kemuncak pelancaran, masing-masing merangkumi dua aset Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin, manakala selebihnya membabitkan bot nelayan tempatan.

Mohamad Fauzi mengajak rakyat Malaysia memeriahkan majlis pelancaran itu, selain turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Johor atas kerjasama erat dan komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran penganjuran.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui portal rasmi www.merdeka360.my atau platform media sosial Merdeka360 di Facebook, Instagram dan X.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan