AM

KPT Perkukuh Kerjasama Dengan Indonesia Dalam Bidang Strategik Pendidikan Tinggi

13/07/2025 03:55 PM

PUTRAJAYA, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited dalam memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dengan Indonesia, untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelajar antarabangsa.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara bidang kerjasama yang dipersetujui bersama Indonesia untuk diperkukuhkan adalah penyelidikan serta mobiliti pensyarah dan pelajar dalam bidang-bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi tenaga boleh diperbaharui, dan aeroangkasa.

Menurut kenyataan itu, kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) turut menjadi fokus merangkumi kolaborasi pendidikan tinggi yang telah terjalin.

Perkara itu dimeterai susulan lawatan kerja Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim ke Indonesia selama dua hari bermula Jumaat lepas (11 Julai).

Dalam lawatan tersebut, beliau telah menghadiri beberapa program, mesyuarat dan kunjungan hormat kepada rakan sejawatnya yang telah membuka ruang luas serta peluang baharu kepada kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Indonesia merupakan antara negara terbesar yang menghantar pelajarnya untuk melanjutkan pengajian di Malaysia, dengan jumlah pelajar seramai 11,293 orang setakat Mac 2025.

Sehingga Disember 2024, sebanyak 464 perjanjian kolaborasi antara IPT Malaysia dan Indonesia telah dimeterai, termasuk mobiliti pelajar dan pengajar untuk menjalani program pembangunan kapasiti.

Selain itu, inisiatif biasiswa Malaysia International Scholarship turut menawarkan peluang kepada pelajar Indonesia yang ingin melanjutkan pengajian di IPT Malaysia, dengan 21 pelajar telah menerima manfaat setakat Disember 2024.

“KPT yakin dengan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa, berupaya meningkatkan imej negara di peringkat global.

“Dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang sejajar dengan keperluan semasa ini juga dapat membawa negara bersaing di peringkat global, selari dengan teras Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, serta keyakinan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan