AM

PMR Terengganu Medan Penyebaran Maklumat Berkesan - Mohamad Fauzi

12/07/2025 02:12 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) -- Penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu berjaya menjadi platform berkesan dalam menyampaikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif kerajaan kepada rakyat, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau berkata penglibatan secara langsung rakyat dalam program itu memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan dapat difahami masyarakat menerusi interaksi terus bersama kementerian dan agensi kerajaan yang mengambil bahagian sejak program itu bermula tiga hari lepas.

“Apa sahaja yang kita buat, kita akan maklumkan kepada rakyat supaya mereka boleh rasai sendiri. Mereka boleh datang, bertanya jika ada yang tidak difahami.

“Kita sediakan ruang interaksi seperti reruai yang mempamerkan pelbagai perkhidmatan dan maklumat. Bila kita hasilkan satu produk, tapi pengguna tidak faham faedahnya, maka usaha itu tidak akan sampai matlamatnya.

“Tetapi melalui PMR ini, rakyat boleh berinteraksi secara langsung dan memahami manfaat yang mereka peroleh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau reruai Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Pasar Kedai Payang di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Fauzi, berbanding penganjuran sebelum ini, PMR kali ini memberi lebih banyak ruang untuk rakyat memahami inisiatif kerajaan secara mendalam serta memastikan setiap pelaksanaan selari dengan keperluan masyarakat.

RTM, katanya, turut menyumbang kepada kejayaan program dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik seperti ‘DJ Corner’, promosi RTM Klik serta liputan langsung sepanjang program berlangsung, manakala MCMC memperkenalkan inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

“NADI ialah pusat sehenti yang menyediakan kemudahan akses internet kepada rakyat di seluruh negara, terutamanya di kawasan luar bandar. Kita ada 1,099 pusat NADI seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu diwujudkan untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat, membolehkan mereka mengakses perkhidmatan dalam talian serta mendapatkan maklumat terus daripada pengurus pusat berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai hadir beramai-ramai dan mengambil peluang mendapatkan maklumat secara langsung serta menyuarakan pandangan mereka sepanjang program berlangsung.

PMR 2025 Terengganu mencatat sambutan luar jangka dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung setakat semalam, iaitu dua kali ganda daripada sasaran awal 25,000 orang bagi program selama tiga hari itu.

Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, PMR 2025 dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan