AM

ASEAN Suarakan Kebimbangan Penambakan Tanah, Gesa Pengawasan Di Laut China Selatan

11/07/2025 10:08 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN mengulangi komitmen blok serantau itu terhadap keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan berikutan kebimbangan semakin meningkat terhadap aktiviti penambakan tanah dan insiden serius yang berpotensi mencetuskan ketegangan di kawasan maritim menjadi pertikaian.

Dalam Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada Jumaat susulan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 pada Rabu, mereka menyatakan beberapa negara anggota telah menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan yang sedang berlaku, termasuk aktiviti menggugat keselamatan maritim, merosakkan ekosistem laut serta menghakis kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan negara serantau.

“Kami membincangkan situasi di Laut China Selatan, dengan beberapa menteri menyuarakan kebimbangan mengenai penambakan tanah, pelbagai aktiviti, dan insiden serius yang berlaku di kawasan terbabit.

“Hal ini termasuk tindakan yang menimbulkan risiko kepada keselamatan semua individu, menjejaskan persekitaran laut, yang telah menghakis kepercayaan dan keyakinan, meningkatkan ketegangan, dan boleh mengancam keamanan, keselamatan, serta kestabilan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan bermula Selasa di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, berakhir pada Jumaat.

Menurut Kenyataan Bersama itu, Menteri-Menteri Luar ASEAN turut mengulangi kepentingan bagi mengamalkan sikap berhemah dan mengelak tindakan yang boleh mencetuskan atau memburukkan pertikaian, di samping menekankan penyelesaian aman konflik berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Mereka turut menekankan kepentingan bukan ketenteraan dan disekat oleh semua pihak selari dengan Deklarasi Perilaku Pihak-Pihak (DOC) di Laut China Selatan 2002, serta menggesa agar DOC dilaksanakan sepenuhnya dan secara berkesan.

Menteri-Menteri Luar ASEAN turut mengulangi kepentingan keamanan, kestabilan dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, sambil mengakui kawasan itu sebagai sebuah zon keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan.

Blok serantau itu turut mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam rundingan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.

Sejajar dengan Garis Panduan bagi Mempercepat Pemuktamadan Awal CoC, Menteri-Menteri Luar ASEAN menyatakan mereka menantikan satu persetujuan muktamad dapat dicapai yang selari dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS serta menekankan keperluan untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi rundingan.

“Menteri-Menteri Luar ASEAN juga menggesa agar langkah praktikal diambil bagi meredakan ketegangan serta mengelak risiko kemalangan atau salah perhitungan, di samping menekankan betapa pentingnya diplomasi pencegahan dan usaha membina keyakinan dalam kalangan semua pihak terlibat,” menurut Kenyataan Bersama itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan