Oleh Nurul Isnaini Mohd Muslim
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Australia Penny Wong mengumumkan pada Khamis dana pembangunan melebihi A$1 bilion untuk negara ASEAN bagi mengimbangi kesan pemotongan pembiayaan USAID, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen Australia untuk memupuk kemakmuran ekonomi yang berkekalan, daya tahan iklim serta kestabilan dan keselamatan serantau.
"Kami tahu bahawa terdapat ketidaktentuan dalam pembiayaan pembangunan dan kesan pemotongan global belum diketahui sepenuhnya, bagaimanapun di sebalik gangguan ini, Australia menyediakan program pembangunan A$1.28 bilion di Asia Tenggara untuk memenuhi keperluan utama anda," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan khas anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam ucapannya, Wong mengetengahkan beberapa program kemanusiaan yang akan mendapat manfaat daripada pembiayaan berkenaan termasuk vaksinasi dan inisiatif HIV/AIDS di Filipina serta program makan percuma untuk kanak-kanak dan wanita hamil di Indonesia.
Beliau turut mengumumkan bahawa Australia telah meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan sebanyak A$16 juta kepada pelarian Myanmar dan Rohingya termasuk negara tuan rumah Bangladesh.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengurangkan lebih 80 peratus program USAID pada Mac, beliau menyatakan tindakan itu sebagai usaha untuk mengurangkan "perbelanjaan yang membazir", dan sejak itu telah mempertimbangkan untuk menutup agensi itu.
Amerika Syarikat ialah pembiaya terbesar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyumbang sekurang-kurangnya 38 peratus daripada bantuan kemanusiaannya tahun lepas.
Satu kajian diterbitkan pada 30 Jun dalam ‘The Lancet’ menganggarkan bahawa pemotongan ini boleh menyebabkan tambahan 14 juta kematian yang boleh dielakkan menjelang 2030 termasuk 4.5 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Wong mengulangi komitmen Australia untuk kekal sebagai rakan strategik di ASEAN dan rantau Indo-Pasifik dan berkata: "Kami tidak akan ke mana-mana.”
Menteri Luar yang dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah itu menekankan kepentingan pakatan antarabangsa dan serantau dalam menangani cabaran bersama serta membina daya tahan dengan menyepadukan lagi ekonomi dan meningkatkan kerjasama pertahanan serta keselamatan.
Beliau juga menekankan kepentingan menghormati kedaulatan, pilihan dan kebebasan bagi semua negara, mengetengahkan nilai tanggungjawab kolektif ke atas kuasa ketenteraan.
“Kita mesti menentukan apa kita mahu untuk rantau ini, menetapkan hala tujunya,” katanya.
Mengenai hubungan Malaysia-Australia, Wong berkata kedua-dua negara berkongsi sejarah sama dan menghadapi cabaran sama, apabila ditangani secara kolaboratif, boleh membawa kepada hasil penyelesaian yang terbaik.
"Ia tidak semestinya menjadi penentu mutlak, tetapi adakah dunia akan menjadi lebih baik jika negara middle power (negara-negara bersikap berkecuali) bekerjasama dalam mengejar matlamat bersama itu? Semestinya ya," katanya.
Malaysia penyumbang tertinggi pelajar antarabangsa di Australia, manakala Australia berada di kedudukan sebagai pelabur teknologi keempat terbesar di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial