KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Sumbangan luar biasa dalam membangunkan bola sepak tanah air dari peringkat akar umbi sehingga pentas antarabangsa terus mendapat penghargaan apabila Tan Sri Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan sempena Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024.
Timbalan Presiden SAM Izahar Atan dalam kenyataan berkata pemilihan Hamidin sebagai penerima anugerah itu amat bertepatan berdasarkan sumbangan beliau yang konsisten, menyeluruh dan berimpak tinggi kepada pembangunan bola sepak negara.
“Tan Sri Hamidin bukan sahaja mencurahkan kepakaran dalam pengurusan bola sepak, tetapi juga menunjukkan semangat kepimpinan luar biasa yang menjadi inspirasi kepada banyak pihak.
“Ketegasan visi, keberanian membuat keputusan dan komitmen tanpa henti terhadap pembangunan bola sepak menjadi asas kepada pemilihan beliau sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan kali ini,” menurut kenyataan itu.
Hamidin yang baru dilantik sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan sekadar pentadbir sukan biasa, malah telah mendedikasikan lebih tiga dekad hidupnya untuk memperkasakan ekosistem bola sepak Malaysia, menjadikannya antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah sukan negara.
Segalanya bermula pada 1995, apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Kecemerlangan dalam pengurusan sukan mendorong pelantikannya sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998 hingga 2013.
Dalam tempoh 15 tahun berkenaan, pasukan Selangor melakar kejayaan luar biasa dengan merangkul 18 trofi, termasuk lima kejuaraan Piala Malaysia sekali gus mengukuhkan reputasi Gergasi Merah sebagai kuasa utama bola sepak tanah air ketika itu.
Pengalaman luas itu dibawa ke peringkat kebangsaan apabila beliau dilantik Setiausaha Agung (FAM) selama lima tahun, sebelum diberi mandat lebih besar sebagai Presiden pada 2018.
Di bawah kepimpinan beliau, pelbagai transformasi struktur dan pembangunan telah dilaksanakan, namun pencapaian paling membanggakan tentunya apabila Malaysia layak secara merit ke Piala Asia 2023, menamatkan kemarau selama 43 tahun dan menjadi simbol kebangkitan semula skuad Harimau Malaya.
Hamidin dan FAM memulakan projek pemain naturalisasi dan warisan dengan misi memperkukuh skuad negara di pentas antarabangsa yang nyata membuahkan hasil apabila Harimau Malaya yang dibarisi pemain naturalisasi dan tempatan berjaya melayakkan diri ke Piala Asia.
Tidak terhenti di situ, Hamidin terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan negara secara keseluruhan.
Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dan mencipta sejarah sebagai Presiden FAM pertama dilantik Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 Julai dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial