KUCHING, 2 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini memintap pengamal media di Sarawak untuk sentiasa mengetengahkan “laporan yang bermanfaat”, selaras dengan kemajuan negeri ke arah mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Bercakap pada majlis makan malam sempena Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 dan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat negeri di sini malam ini, beliau berkata liputan berita harus mencerminkan hala tuju strategik negeri serta cabaran masyarakat setempat.
“Berita yang boleh diketengahkan termasuk kemajuan teknologi hijau dan hidrogen, serta kisah perjuangan dan ketahanan rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup. Naratif penting lain termasuk kesan dasar dan perkhidmatan awam di tengah-tengah Borneo yang benar-benar bermakna,” katanya.
Fadillah berkata platform media perlu menjadi ruang “kebenaran disuarakan, maruah dipertahankan dan harapan tidak pernah padam.”
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Khas Premier Sarawak 2025 kepada 10 pengamal media.
Anugerah tersebut meliputi pelbagai kategori termasuk editor, wartawan, pembaca berita, penyampai radio (DJ), dan jurugambar, bagi menghargai sumbangan besar mereka dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan membina.
Antara penerima anugerah ialah Ketua Biro Bernama Sarawak Hamdan Ismail, Ketua Editor Sarawak Tribune Aden Nagrace dan Cheng Lian Hock dari Dayak Daily.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial