AM

Malaysia-Indonesia Adakan Semula Perbincangan Tahunan - Fahmi

02/07/2025 04:42 PM

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia akan mengadakan semula perbincangan tahunan yang kali terakhir diadakan pada 2017, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta delegasi dijadual ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri sesi berkenaan, termasuk acara berkaitan dengan Sekretariat ASEAN.

Beliau berkata usaha mengadakan semula perbincangan tahunan itu dicapai semasa lawatan Perdana Menteri ke Indonesia, dalam pertemuannya dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Jumaat lepas.

“Perbincangan dengan Presiden Indonesia itu telah diadakan dalam satu suasana yang cukup meriah, cukup baik, cukup positif dan antara perkara yang dibincangkan adalah untuk memulakan semula perbincangan tahunan ataupun annual consultation antara pimpinan kedua-dua negara.

“Perdana Menteri dan delegasi akan ke Jakarta. Insya-Allah pada 29 Julai ini untuk sesi konsultasi dan juga acara berkaitan dengan Sekretariat ASEAN di Jakarta,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Fahmi berkata sesi berkenaan bakal menjadi menjadi forum terbaik untuk pemimpin kedua-dua negara menyatakan pandangan dan mencari hala tuju dalam isu-isu berbangkit membabitkan Malaysia-Indonesia, termasuk isu Ambalat.

“Isu berkenaan dengan Ambalat telah lebih dua hingga tiga dekad... Ia bukan satu perkara yang baharu dan saya jangka ini akan menjadi antara perkara yang dibincangkan, seperti yang Perdana Menteri ada sebut.

“Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk isu-isu teknikal. Jadi kita jangkakan perbincangan pada hujung Julai nanti adalah sebagai permulaan, bukan pengakhiran dalam isu tersebut,” katanya.

Sebelum ini Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia akan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ dengan Indonesia berhubung wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat.

Media sebelum ini melaporkan Anwar dan Prabowo menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan