IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyeru konvoi bermotosikal menjadi 'duta kecil' bagi mempromosi pelancongan domestik untuk memperhebat kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pengarah MOTAC Negeri Perak Muhammad Aminuddin Abdul Majid berkata peserta konvoi bermotosikal boleh meneroka dan menjelajah destinasi pelancongan bagi membantu MOTAC mempromosi tempat pelancongan menarik dan warisan dalam negara.
"Secara tidak langsung mereka (peserta konvoi) akan menjadi tukang cerita atau duta kecil pelancongan, seni dan budaya di tempat mereka lawati dengan aktiviti serta kandungan media yang mereka akan cipta.
"Dunia kini tanpa sempadan dan setiap pengisian mereka akan dikongsikan di media sosial supaya dapat menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Malaysia seterusnya merancakkan ekonomi setempat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melepaskan konvoi peserta Program Jejak Warisan Pantai Timur 2025 bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1969 Business Suite Tony Wong di sini hari ini.
Lebih 50 peserta daripada pelbagai kelab permotoran menyertai konvoi berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 29 Jun ini sempena kempen TMM 2026.
Program anjuran Kelab Motosikal Salam Taiping itu bertujuan mempromosikan warisan budaya serta keunikan destinasi pelancongan di sepanjang pesisir Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Program merangkap Pengerusi Kelab Motosikal Salam Taiping Mohd Nordin Mohd Yusoff berkata persiapan bagi menjayakan konvoi sejauh 1,185 kilometer itu mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Konvoi itu melalui empat negeri, iaitu Perak, Pahang, Terengganu, dan Kelantan sebelum kembali ke Perak dan berakhir di Dataran Warisan Taiping.
"Antara destinasi utama yang disinggahi termasuk Cherating di Pahang, Kuala Terengganu di Terengganu serta Kota Bharu dan Rantau Panjang di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata program berkonsepkan “Ride & Learn” itu menggabungkan minat permotoran dengan elemen pendidikan berkaitan sejarah dan budaya tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial