POLITIK

Keputusan Pemilihan PKR Dijangka Diketahui Jumaat Ini

22/05/2025 04:02 PM

JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Keputusan kepimpinan baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka diketahui paling awal malam esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata keputusan itu mungkin diketahui semasa Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025.

”Kalau keputusan itu kita boleh buat pada malam yang sama selepas atau semasa perasmian dan ucapan dasar Presiden, insya-Allah kita akan umumkan… paling lewat adalah 2.30 petang Sabtu ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai perjalanan kongres itu di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh, Ketua Penerangan Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Pengerusi JPP Datuk Ahmad Kassim.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata keputusan tidak rasmi pula hanya boleh diakses oleh setiap calon bertanding dan perwakilan.

Beliau juga berharap agar tiada gangguan liputan Internet pada hari berkenaan bagi membolehkan proses pengundian berjalan lancar.

“Setakat ini, Presiden dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyaksikan tidak pertandingan manakala terdapat pertandingan bagi jawatan-jawatan yang lain,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu.

Fuziah pula berkata seramai 150 petugas media telah mendaftar bagi membuat liputan Kongres Nasional PKR tahun ini.

Beliau berkata seramai 9,029 perwakilan akan mengundi secara fizikal termasuk di Sabah dan Sarawak manakala 13,060 lagi secara dalam talian bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Bagi Majlis Pimpinan Wanita Pusat pula, seramai 2,129 daripada 8,558 perwakilan akan mengundi secara fizikal manakala bagi Majlis Pimpinan AMK, sebanyak 3,375 daripada 10,065 perwakilan akan mengundi secara fizikal.

Fuziah juga berkata meskipun tiada jemputan dikeluarkan untuk pemerhati bagi Kongres Nasional PKR tahun ini susulan ruang yang terhad namun parti itu amat mengalu-alukan kehadiran mereka.

Kongres itu bermula 8 malam ini dengan perasmian serentak Kongres AMK dan Wanita oleh Fuziah di Berjaya Waterfront Hotel di sini yang dijangka dihadiri Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim, Ketua Wanita Fadhlina Sidek serta perwakilan kedua-dua sayap.

Kedua-dua sayap parti akan memulakan kongres masing-masing esok dengan ucapan dasar Adam Adli dan Fadhlina diikuti sesi perbahasan sebelum penggulungan oleh Setiausaha, Naib Ketua, Timbalan Ketua dan Ketua Sayap.

Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat akan berlangsung esok merangkumi pemilihan MPP, Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan