ISKANDAR PUTERI, 22 Mei (Bernama) -- Satu mesyuarat khas krisis diadakan pagi ini bagi membincangkan masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan di daerah ini akibat kerosakan pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata mesyuarat akan membincangkan solusi segera bagi membaiki enam pam yang rosak dengan kadar segera.
“Saya nak buat pengumuman tentang isu air … jadi seperti semua sedia maklum bahawa Ranhill SAJ telah buat pengumuman terdapat pam rosak di daerah Johor Bahru yang mengakibatkan ratusan ribu rumah tidak mempunyai air ketika ini.
“Kita difahamkan sepatutnya semalam semua enam pam dah selesai tapi malangnya masih lagi ada masalah, jadi saya telah mengarahkan satu emergency crisis meeting diadakan pagi ini untuk memastikan pam-pam ini dapat dibaiki pada kadar segera,” katanya sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bermula di Kota Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mendapatkan bantuan tangki air dari daerah dan negeri lain bagi membekalkan air ke kawasan yang terjejas.
“Saya juga telah minta air mineral dibeli supaya memastikan bekalan air minuman mencukupi untuk setiap rumah di kawasan terjejas, insya-Allah isu ini dapat kita selesaikan bersama dengan segera,” katanya.
Semalam, media melaporkan kira-kira 100,000 akaun pengguna di beberapa kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air akibat kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata kerosakan itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya pada petang kelmarin.
Beliau berkata gangguan itu mengakibatkan agihan air kira-kira 318 juta liter sehari (MLD) terhenti dan tidak dapat disalurkan kepada pengguna di beberapa kawasan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial