ISKANDAR PUTERI, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian tular melibatkan sebuah kenderaan pendaftaran asing yang didapati mengisi petrol RON95 ke dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di sini.
KPDN Johor menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini memaklumkan pemeriksaan telah dijalankan semalam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mendapatkan salinan resit pembelian pemandu kenderaan tersebut dan menemui pemilik stesen minyak berkenaan.
“KPDN Johor telah berjumpa dengan pemilik stesen minyak serta memberi amaran keras untuk sentiasa berwaspada bagi memastikan kejadian ini tidak berulang lagi. Satu tindakan kes telah diambil dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut hantaran itu.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya hukuman meningkat kepada denda maksimum RM3 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan hingga RM2 juta dan bagi kesalahan berulang denda boleh mencecah RM5 juta.
KPDN turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan salah laku membabitkan barang kawalan dan subsidi kepada pihak berkuasa agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil dengan segera dan berkesan.
Terdahulu, tular gambar pemilik sebuah kenderaan mewah berpendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 ke dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di sekitar Iskandar Puteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial