GUA MUSANG, 10 Ogos (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM100,000 di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), bagi membantu komuniti di Kampung Batu Papan, di sini meningkatkan pendapatan melalui projek tanaman timun secara fertigasi gantung.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Batu Papan Mohd Iskandar Abu Bakar berkata projek itu, dimulakan pada Ogos tahun lepas dan kini memasuki musim ketiga dengan lebih 15 tan timun berjaya dipasarkan.
Beliau berkata RM80,000 daripada peruntukan itu digunakan untuk projek fertigasi termasuk kos sewa tanah, pembelian peralatan dan modal pusingan manakala RM20,000 digunakan bagi melaksanakan projek kitar semula di kampung berkenaan.
“Penanaman fertigasi hanya mengambil tempoh 45 hari bagi setiap musim sebelum hasil dapat dituai, bermula daripada proses semaian benih ke dalam 2,000 polibeg sehingga timun matang dan sedia dipasarkan,” katanya kepada pemberita di kampung itu hari ini.
Pengurus Projek Fertigasi Timun Kampung Batu Papan Muhammad Farid Abdul Hadi, 37, berkata hasil tuaian dijual kepada pemborong, selain dipasarkan di tiga pasar raya di Gua Musang serta Kuala Lipis dan Raub di Pahang pada harga RM1.50 sekilogram.
“Musim ketiga bermula 16 Jun dan kini memasuki minggu ketiga tuaian serta jualan. Setakat ini, kira-kira 4,000 kilogram (kg) timun telah dituai dan kami menjangkakan hasil melebihi 7,000kg pada musim ini,” katanya.
Seorang penduduk Junainah Saeroni, 45, berkata inisiatif SejaTi MADANI memberi peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.
“Setiap hari bermula 5 petang, saya bersama tiga rakan lain akan ke kebun untuk mengutip hasil dan membungkus timun untuk dijual. Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan inisiatif yang membantu meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial