AM

MTHQA 2025: Prestasi Peserta Meningkat Hasil Saringan Awal Yang Ketat

08/08/2025 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Prestasi peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 tahun ini menunjukkan peningkatan ketara susulan pelaksanaan saringan awal yang lebih ketat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pendekatan itu membolehkan hanya peserta yang benar-benar berkualiti mara ke pentas pertandingan sekali gus menepati tahap persembahan bertaraf antarabangsa.

“Bacaan daripada segi lagu serta tajwid menepati kehendak jemaah hakim dan tidak seperti sebelum ini yang ada peserta agak keterlaluan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Selaku Pengerusi Jemaah Hakim, beliau turut memaklumkan bahawa hampir semua peserta hafazan memperlihat tahap penguasaan yang tinggi apabila berjaya menjawab soalan dengan baik sepanjang pertandingan.

“Bagi hafazan, tidak ada yang tidak boleh menjawab soalan. Dia bagi petikan ayat, sambung… majoriti atau boleh kata 99 peratus peserta dapat menjawab... ada kekurangan di sana sini tetapi masih boleh menjawab soalan,” katanya.

Sirajuddin turut memuji prestasi para peserta dari negara yang sebelum ini dianggap kurang menyerlah dan sedang membangun namun kini mampu menyaingi negara-negara yang lazimnya mendominasi kejuaraan.

“Malah ada yang menghampiri negara-negara yang dahulunya johan… mereka dah boleh cabar kita daripada segi markah, bacaan ataupun hafazan,” katanya.

Beliau menyifatkan prestasi Malaysia berada pada tahap memuaskan namun usaha perlu digiatkan untuk melahirkan peserta yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Qariah Malaysia Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi berkata beliau berhasrat menyumbang kembali kepada masyarakat dengan mendidik generasi muda dalam bidang taranum sekiranya dikurniakan rezeki kejayaan pada malam esok.

“Kalau ada rezeki menang, insya-Allah saya nak teruskan usaha mengajar anak-anak muda. Kelas dah ada, cuma sebelum ini tak boleh fokus sebab beri keutamaan pada pertandingan,” katanya.

Wan Sofea Aini berkata penyertaan kali ini merupakan pengalaman pertama di pentas antarabangsa selepas tiga kali menjadi wakil di peringkat kebangsaan dan persediaan dibuat secara intensif termasuk berguru dengan tokoh-tokoh taranum.

Beliau turut berkongsi cabaran peribadi apabila diuji dengan selesema dan gangguan pernafasan menjelang persembahan yang memberi kesan kepada bacaan di atas pentas.

Turut memperdengarkan bacaan al-Quran ialah Mohamad Habil Walizada dari Afghanistan, Kaiyrbay Dauken (Kazakhstan), Mohamad Mozammel Hossain (Kanada), Nur Rahmiyatin Adhya (Indonesia) dan Sansari Sos Yusof (Kemboja).

Bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’, MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara dan turut bersiaran secara langsung melalui RTM1 serta saluran rasmi media sosial JAKIM bermula 8.15 malam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri majlis penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 8 malam esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan