AM

Acara Perniagaan Penting Capai Sasaran Pelancongan Di Bawah RMK13 - Ahmad Zahid

07/08/2025 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Acara perniagaan akan berperanan penting untuk membantu Malaysia mencapai sasaran ketibaan 35.6 juta pelancong dan terimaan pelancongan sebanyak RM147 bilion pada Tahun Melawat Malaysia 2026 serta sumbangan 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar daripada sektor pelancongan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perwakilan perniagaan ialah pengembara bernilai tinggi memandangkan mereka tinggal lebih lama, membelanjakan lebih banyak wang, datang berulang kali ke Malaysia dan selalunya kembali semula bersama keluarga.

"Lebih penting lagi, pengembara perniagaan membawa idea, pelaburan dan pengaruh," katanya dalam ucapan perasmian Makan Malam Gala Anugerah Acara Perniagaan anjuran Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) di sini malam ini.

Menurutnya sektor pelancongan juga kembali rancak dan kekal menjadi keutamaan negara.

“Pada 2024, perbelanjaan pelancong asing meningkat kepada RM102.2 bilion, petunjuk kukuh bahawa tarikan Malaysia bukan sahaja utuh, malah berkembang,” kata Ahmad Zahid.

Dalam tempoh 10 tahun lepas, Malaysia telah menganjurkan lebih 3,000 acara perniagaan, yang menarik lebih sejuta perwakilan dan menjana anggaran impak ekonomi sebanyak RM18 bilion.

Ahmad Zahid berkata kerajaan mengiktiraf industri acara perniagaan sebagai pemacu strategik kepada pertumbuhan yang inklusif, mampan dan berimpak tinggi.

Beliau berkata kerajaan mengambil langkah positif dengan memperkemas kemudahan visa, terutama kepada pengembara yang kerap datang dan menaik taraf lapangan terbang utama dan lokasi konvensyen bagi memenuhi piawaian global.

Selain itu, katanya kerajaan merancang untuk memperkukuh kerjasama antara agensi, terutamanya antara MACEOS, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Bagaimanapun, infrastruktur sahaja tidak cukup. Kepada MACEOS, saya menyeru anda terus melonjak lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan