Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila pelabur memanfaatkan kelemahan dolar AS menjelang kenyataan kalangan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) malam ini, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2235/2305 berbanding dolar AS daripada 4.2260/2310 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan daripada kalangan pegawai Fed akan membentuk jangkaan peniaga dan pelabur terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah pada September.
“Setakat ini, data ekonomi AS seperti pembayaran gaji bukan ladang dan indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) menyokong kemungkinan pengurangan kadar faedah.
“Bagaimanapun, pandangan bercampur-campur yang disuarakan oleh kalangan pegawai Fed boleh menyokong dolar AS, walaupun hanya untuk sementara waktu,” katanya kepada Bernama.
Hari ini, Gabenor Lembaga Fed Lisa D. Cook, Presiden Fed San Franciso Mary C. Daly dan Presiden Fed Boston Susan M. Collins akan menyertai perbincangan panel bertajuk ‘Perspektif sebuah Bank Pusat Mengenai Landskap Global yang Berubah’ sekali gus memberi lebih kejelasan mengenai hala tuju kadar faedah AS pada masa hadapan.
Sementara itu, ringgit ditutup rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen kepada 2.8570/8619 daripada 2.8618/8654 ketika ditutup semalam, dan susut berbanding pound British kepada 5.6160/6253 daripada 5.6159/6226.
Unit domestik rendah berbanding euro kepada 4.8929/9010 daripada 4.8772/8830.
Ringgit juga ditutup rendah kebanyakannya berbanding mata wang serantau.
Mata wang tempatan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0291/0567 daripada 13.0408/0627 ketika ditutup pada Selasa, namun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2806/2863 daripada 3.2793/2834.
Ringgit lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 258.1/258.6 daripada 257.8/258.2, dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.34/7.36 daripada 7.33/7.34.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial