TAIPING, 5 Ogos (Bernama) -- Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan komuniti di Kampung Batu 8, Bendang Siam di sini menerusi inisiatif Projek Kampung Angkat MADANI dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MADANI.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata peruntukan itu merangkumi pelaksanaan beberapa projek infrastruktur dan fizikal di kampung berkenaan.
Beliau berkata projek itu mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
“Dengan peruntukan RM1.2 juta, pelbagai projek fizikal dilaksanakan di kampung ini antaranya menaik taraf Surau Kampung Batu 8, pembinaan dewan orang ramai, dewan terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Siam dan pembinaan bilik jenazah Masjid Al-Wusqa.
“Selain itu, kami turut membina gazebo rekreasi di hadapan surau sebagai tempat istirahat termasuk pemulihan kolam terbiar, yang dijangka mampu menjadi sumber ternakan ikan dan pendapatan baharu kepada komuniti,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kampung berkenaan di sini hari ini.
Mohd Zahari berkata dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan keselamatan penduduk, sebanyak 21 rumah dikenal pasti untuk dibaik pulih khususnya melibatkan golongan B40.
“Kerja pembaikan rumah melibatkan penggantian kotak agihan bekalan elektrik (DB Box), pendawaian semula, pemasangan lampu solar di bahagian luar rumah, pembaikan bumbung bocor, penggantian lantai dan tiang kayu serta baik pulih tingkap dan pintu yang uzur.
“Projek ini dilaksanakan dengan sokongan tenaga pakar institusi pendidikan teknikal, termasuk pelajar yang menjalani latihan amali dalam bidang kerja awam dan elektrik,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu akan mengambil masa selama dua minggu bermula hari ini sehingga 20 Ogos melibatkan sebanyak 162 pensyarah dan pelajar dari 10 institusi di bawah rangkaian Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) seluruh negara.
“Kolej Komuniti Bagan Serai bertindak sebagai penyelaras utama projek ini dengan kerjasama sembilan institusi lain iaitu Politeknik Sultan Idris Shah, Politeknik Nilai, Politeknik Jeli, Politeknik Bagan Datuk, Kolej Komuniti Sabak Bernam, Kolej Komuniti Seberang Jaya, Kolej Komuniti Masjid Tanah, Kolej Komuniti Selandar dan Kolej Komuniti Kuala Langat.
“Projek seumpama ini bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar, malah memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan masyarakat, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara secara inklusif berteraskan konsep MADANI,” katanya.
Beliau berkata projek itu diselaraskan oleh ICU Negeri Perak dengan kerjasama rapat Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama, Pejabat Penghulu, Pejabat Ketua Kampung termasuk agensi teknikal terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial