AM

Konflik Di Mynmar Kini Jauh Lebih Baik Hasil Usaha Bersama ASEAN - PM Anwar

05/08/2025 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Situasi konflik kemanusiaan di Myanmar kini dilihat jauh lebih baik berbanding sebelumnya hasil usaha dan sokongan berterusan ASEAN, termasuk peranan aktif Malaysia dalam menjayakan rundingan damai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Myanmar juga masih menunjukkan kesediaan untuk meneruskan kerjasama dan perbincangan bersama Malaysia atas semangat ASEAN, sekali gus membuka ruang kepada kemajuan dalam beberapa isu utama di negara itu.

“Kita telah mulakan dan sebagaimana saya sebut di Parlimen, saya sendiri sudah pun jumpa kedua-dua Perdana Menteri sekarang serta Perdana Menteri National Unity Government untuk mencapai kesepakatan.

“Pertama, gencatan senjata; kedua memberi peluang bantuan kemanusiaan dan ketiga, meneruskan dialog supaya serangan, terutama yang melibatkan beberapa kawasan Karen, Rakhine dan Rohingya itu dihentikan.

“Setakat ini, keadaan jauh lebih baik jika dibandingkan dengan perkembangan sebelum ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai peranan Malaysia dalam konflik kemanusiaan di Myanmar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai bantuan di Myanmar, Anwar berkata operasi bantuan telah dipertingkatkan menerusi penubuhan hospital medan tentera di Myanmar yang beroperasi selama beberapa bulan atas persetujuan kedua-dua pihak.

“Hospital medan tentera itu beroperasi beberapa bulan dengan syarat tiada serangan baharu dan mesti ada gencatan senjata.

“Ini juga merupakan cara menyelamatkan kedudukan masyarakat Rohingya yang tertindas sekian lama kerana inilah pertama kali dalam beberapa bulan ini mereka dapat bernafas lega, tanpa serangan teruk walaupun terdapat beberapa insiden tertentu yang dilaporkan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, rundingan diplomatik akan diteruskan dengan beberapa Menteri Luar ASEAN, termasuk Thailand dan Indonesia, yang dijangka melawat Myanmar hujung bulan ini sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu mencari penyelesaian mampan.

Menyentuh mengenai konflik di selatan Thailand dan Filipina, Anwar memaklumkan rundingan telah diangkat ke peringkat tertinggi bersama pimpinan negara-negara terlibat, namun kedua-dua pihak belum bersetuju untuk menggunakan penyelesaian kerangka ASEAN.

“Kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Presiden Filipina setuju supaya Malaysia, bukan campur tangan, tetapi mengambil tahu perkembangan supaya dapat membantu menyelesaikan kemelut yang terus meruncing melalui beberapa insiden di selatan Thailand dan Filipina,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan