AM

PMR 2025 Kelantan: Lebih 100 Perkhidmatan Touchpoint Ditawarkan Untuk Rakyat

04/08/2025 07:41 PM

KOTA BHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Lebih 120 perkhidmatan touchpoint akan ditawarkan pelbagai kementerian dan agensi sepanjang Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan, yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr Noraisah Spahat berkata ia termasuk Jualan MADANI dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus, diskaun saman Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga 50 peratus, serta program pertukaran 3,000 unit topi keledar lama kepada baharu oleh JPJ.

Beliau berkata program itu turut menampilkan segmen teknologi Touch and Feel yang mempamerkan sembilan teknologi canggih seperti kereta hidrogen, dron pertanian, sistem pengesanan radiasi, pengujian ketulenan emas serta pengalaman teknologi hologram daripada syarikat swasta.

Noraisah berkata MOSTI juga memperkenalkan pelbagai program pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) seperti STEM Camp, Planet Rover berkuasa solar dan STI 100³ yang membawa saintis ke sekolah bagi mendorong minat murid terhadap bidang teknologi dan sains.

“Empat kementerian terlibat iaitu MOSTI, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Digital, akan bergabung mempersembahkan ruang interaktif bertemakan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta kecerdasan buatan (AI), dengan aktiviti seperti e-Sukan, gamifikasi teknologi dan demonstrasi inovatif,” katanya menerusi Facebook Bernama Radio ketika pada program Temu Bual Radio hari ini.

Beliau berkata PMR Kelantan juga akan menyediakan ruang pekerjaan dengan penglibatan sembilan majikan yang menawarkan lebih 800 kekosongan jawatan hasil kerjasama bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan agensi berkaitan.

Noraisah berkata sebanyak 18 program satelit turut dijadualkan berlangsung sepanjang 1 hingga 9 Ogos di pelbagai lokasi, termasuk Bengkel AI untuk belia, demonstrasi Sistem Ramalan Lokasi Ikan (FSI) di Pasir Puteh, serta program MADANI Kasih Rakyat oleh Agensi Nuklear Malaysia.

Beliau berkata MOSTI turut memperkenalkan sistem pengangkutan mesra rakyat dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, bagi memudahkan capaian ke lokasi program serta menyediakan empat lot parkir khas di pekarangan stadium.

“Kemudahan seperti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata dan gigi, serta urutan refleksologi juga disediakan, menjadikan PMR 2025 bukan sahaja ruang inovasi tetapi turut menjadi pusat kesedaran kesihatan untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, sempena program tersebut pelbagai aktiviti sambutan bulan kemerdekaan turut dirancang oleh Jabatan Penerangan Malaysia termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang di lima jajahan, Karnival Kita MADANI serta program khas di Felda Perasu, Gua Musang sempena Hari Kebangsaan.

Noraisah berkata program itu bukan sahaja menyasarkan penyebaran ilmu dan teknologi kepada rakyat tetapi juga bertujuan membina masyarakat berfikiran saintifik, sejajar aspirasi negara menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

“...Dengan pendekatan menyeluruh serta penglibatan aktif sektor swasta dan komuniti, kita berharap PMR 2025 di Kelantan menjadi antara edisi paling meriah dan memberi impak besar kepada rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.

Mengulas mengenai tema “Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Kesejahteraan Rakyat”, beliau berkata tema itu sebagai cerminan komitmen kerajaan memperkasakan pembangunan secara inklusif dan mampan melalui STI.

“Rakyat Kelantan memang terkenal dengan sambutan luar biasa terhadap program seperti ini, jadi kita jangkakan kehadiran akan melepasi sasaran kerana program ini bukan sekadar pameran, tetapi ruang rakyat alami dan fahami teknologi secara praktikal,” katanya.

Pada 2 Ogos, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin dilapor berkata sebanyak 25,000 pengunjung dijangka menghadiri Program PMR Negeri Kelantan, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada 7 hingga 9 Ogos ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan