KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Dewan Rakyat di sini petang ini bagi membentangkan Belanjawan 2026.
Lengkap berbaju Melayu dan bersampin berona biru muda serta membawa beg dokumen berisi teks ucapan pembentangan belanjawan itu, beliau tiba di Bangunan Utama Parlimen pada 3.50 petang.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 itu, yang dijadual berlangsung pada 4 petang, akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan termasuk BERNAMA TV dan platform media sosial serta laman YouTube Parlimen.
RUU itu bertujuan membolehkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan digunakan untuk perkhidmatan dan perbelanjaan kerajaan bagi 2026.
Berdasarkan takwim persidangan Dewan Rakyat, sesi perbahasan Belanjawan 2026 di peringkat dasar bermula Isnin depan hingga 28 Okt diikuti sesi penggulungan oleh menteri-menteri pada 29 Okt hingga 4 Nov.
Perbahasan di peringkat jawatankuasa pula dijadualkan pada 5 hingga 27 Nov sebelum diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial