PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR) hari ini memeriksa Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi 2021 hingga 2024, termasuk pencapaian dalam penguatkuasaan, inisiatif pencegahan serta usaha memperkukuh integriti sektor awam dan swasta.
Menurut kenyataan JKmR, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah di ibu pejabat SPRM di sini hari ini, turut dihadiri ahli-ahli jawatankuasa khas.
Mereka yang hadir ialah Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, Young Syefura Othman, Datuk Lo Su Fui dan Mohd Shafizan Kepli.
“Mesyuarat pada hari ini memberi tumpuan kepada penilaian prestasi dan keberkesanan pelaksanaan fungsi SPRM di samping meneruskan momentum peranan JKmR sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap suruhanjaya.
“Mesyuarat turut mencadangkan agar maklum balas daripada pihak luar seperti akademia, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut diambil kira bagi memastikan pendekatan antirasuah bersifat inklusif dan holistik,” menurut kenyataan itu.
Dalam usaha memperkukuh penyediaan Laporan Tahunan JKmR 2024, mesyuarat mencetuskan beberapa penambahbaikan, termasuk penetapan indikator prestasi dan aspek ketelusan dalam penilaian keberhasilan SPRM.
“Secara keseluruhan, pelaksanaan mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan JKmR untuk memastikan SPRM terus beroperasi secara bebas, telus dan profesional, demi mempertahankan integriti dan akauntabiliti institusi,” menurut JKmR.
Sempena mesyuarat itu juga, JKmR memaklumkan satu lawatan tapak turut diadakan yang memberi peluang kepada ahli meninjau fasiliti operasi utama, iaitu pusat penyiaran MACC.fm, bilik temu bual bervideo, lokap dan makmal forensik digital.
“Lawatan itu memberikan pendedahan langsung kepada ahli jawatankuasa mengenai kaedah penyampaian mesej integriti dan antirasuah melalui platform radio, pelaksanaan rakaman temu bual, tatacara pengurusan tahanan dan keupayaan forensik digital dalam menyokong proses penyiasatan kes rasuah,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial