KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang merangka Pelan Strategik 2026–2030 bagi menentukan hala tuju yang lebih mampan untuk industri getah negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata pelan yang menyeluruh ini akan menjadi pelan hala tuju untuk meningkatkan produktiviti, menggalakkan inovasi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperkasakan perkhidmatan sokongan serta memperkukuh kecekapan operasi dan tadbir urus dalam LGM.
“Pelan ini dirangka berdasarkan empat teras strategik utama, iaitu meningkatkan produktiviti getah untuk menjamin kemampanan jangka panjang industri getah negara, menjalankan R&D untuk memacu pertumbuhan dan inovasi berterusan, memperkasakan perkhidmatan sokongan untuk mengukuhkan seluruh ekosistem industri getah serta memperkukuh kecekapan operasi dan tadbir urus LGM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Ekonomi Getah Antarabangsa 2025 di sini hari ini.
Katanya berdasarkan permintaan global untuk produk mampan yang terus meningkat, penting bagi Malaysia untuk menangani cabaran alam sekitar, sosial dan ekonomi dalam industri getah asli.
“Amalan mampan dalam pengeluaran getah asli adalah penting bukan sahaja untuk melindungi ekosistem kita, malah memastikan kesejahteraan pekebun kecil dan daya maju industri dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata kementerian dan LGM komited untuk memastikan industri getah negara mematuhi piawaian kemampanan antarabangsa, termasuk Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang akan berkuat kuasa 30 Dis 2025.
Johari berkata agenda Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) bertujuan memperkukuh rangka kerja kemampanan sektor getah.
MNSR merupakan pengiktirafan kemampanan yang diberikan kepada pemegang lesen dan permit LGM melalui pendekatan kawal selia dan penguatkuasaan untuk menggalakkan amalan mampan dalam pengeluaran getah asli.
Beliau berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk MSNR dirangka dengan mengambil kira keperluan undang-undang dan kebolehkesanan rantaian bekalan dalam industri getah Malaysia.
Katanya komitmen Malaysia terhadap piawaian kemampanan antarabangsa turut diperkukuhkan melalui pelancaran eksport getah Malaysia yang pertama mematuhi MSNR ke Kesatuan Eropah pada 12 Dis 2024.
“Inisiatif MSNR yang sebelum ini hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, kini telah diperluaskan ke Sabah dan Sarawak dengan pengesahan daripada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial