KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia tidak gentar memperjuangkan kebenaran dan akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan bagi menentang kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Gaza, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia bersama masyarakat antarabangsa akan terus menuntut supaya bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza yang sedang dizalimi.
Katanya, Malaysia juga akan terus memperkukuh muafakat dengan negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan serta membuka jalan ke arah keamanan hakiki demi melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.
“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri. Sebaliknya suara kita akan terus bergema di jalanan, di pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata beliau berasa amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
“Rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun dengan satu hati, menyuarakan solidariti kepada saudara-saudara kita di Gaza yang terus dizalimi dan dinafikan hak menerima bantuan kemanusiaan.
“Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian. Mereka hadir bukan kerana dipaksa, tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela,” katanya.
Himpunan berkenaan diadakan bagi meraikan kepulangan wira kemanusiaan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selain terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama Palestin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial