JOHOR BAHRU, 9 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengenal pasti 339 lokasi berisiko banjir sebagai langkah persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Pengarah JBPM Johor Siti Rohani Nadir berkata daripada jumlah itu, 66 lokasi dikenal pasti di Muar manakala Batu Pahat (47), Johor Bahru (44), Kota Tinggi (31), Segamat (30), Kluang (27), Kulai (27), Tangkak (26), Mersing (22) dan Pontian (19).
“Selain itu, sebanyak 23 lokasi cerun kritikal turut dikenal pasti di tujuh daerah melibatkan Segamat, Muar, Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata JBPM Johor kini mempunyai kekuatan sebanyak 1,462 pegawai kanan, anggota pelbagai pangkat serta pegawai bomba bantuan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi berada pada tahap optimum.
“Dari segi logistik, JBPM Johor mempunyai 46 kenderaan pacuan empat roda (4x4), 11 lori dan 47 kenderaan marin yang tersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa. Peralatan asas menyelamat di air juga disediakan, meliputi 140 unit tali penyelamat dan 1,147 jaket keselamatan,” katanya.
Siti Rohani berkata bagi memperkukuh keupayaan udara, sebanyak 119 lokasi pendaratan helikopter turut disenaraikan di seluruh Johor dengan Johor Bahru (28), Batu Pahat (16), Muar (14), Tangkak (13), Segamat (12), Kota Tinggi (12), Mersing (11), Pontian (dua) dan Kulai (satu).
Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook, JBPM Johor melalui Zon 3 telah melaksanakan Latihan Pemanduan 4x4 dan Kajian Kawasan Berisiko Banjir pada 29 Sept lepas sebagai sebahagian daripada persediaan MTL.
JBPM Johor memaklumkan latihan yang diadakan di Kompleks Perbadanan Taman Negara, Kampung Peta, Mersing itu berlangsung dari 8.30 pagi hingga 3.30 petang dan melibatkan semua pegawai Zon 3, ketua balai serta pemandu terpilih.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk latihan pemanduan 4x4 ke kawasan Kampung Peta, taklimat mengenai geografi dan risiko bencana, serta kajian lapangan ke kawasan berisiko banjir dan penempatan masyarakat Orang Asli.
“Latihan ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran pemanduan kenderaan 4x4 dalam situasi bencana, tetapi juga memperkukuh kerjasama dengan agensi luar bagi memastikan kesiapsiagaan menyeluruh dalam menghadapi kemungkinan banjir semasa musim Monsun Timur Laut,” menurut hantaran itu.
MTL 2025/2026 dijangka bermula bulan depan hingga Mac 2026, dengan fasa peralihan monsun dijangka bermula akhir Oktober hingga November ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial