KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung prosiding bagi merumuskan persoalan undang-undang berhubung tuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapi Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa pihaknya dan pasukan pembelaan yang diketuai peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar telah mencapai persetujuan berhubung perkara itu.
“Saya percaya kami telah mencapai persetujuan agar permohonan untuk merumuskan persoalan undang-undang di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 didengar di mahkamah ini.
“Kami juga bersetuju untuk menarik balik permohonan bagi menangguhkan prosiding serta permohonan untuk memindahkan prosiding berkenaan ke Mahkamah Tinggi yang lain,” kata Wan Shaharuddin semasa prosiding hari ini.
Gurdial turut mengesahkan perkara berkenaan di hadapan mahkamah.
Pendengaran itu pada asalnya dijadualkan berlangsung hari ini di hadapan Hakim Muniandy, namun beliau memaklumkan bahawa ia akan dipindahkan ke Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat.
Wan Shaharuddin turut memaklumkan bahawa pihak pendakwaan memberikan aku janji untuk menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan permohonan Na’imah untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 10 Nov ini untuk pengurusan kes.
Pada 21 Ogos lepas, Muniandy membenarkan permohonan Na’imah selepas mendapati persoalan undang-undang yang dibangkitkan bukan bersifat remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah sebagaimana diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Pada 23 Jan 2024, Na’imah, balu kepada bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis untuk mengisytiharkan asetnya, termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pada 29 Feb 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Bagaimanapun, pada 18 Feb lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan itu atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu perlembagaan dibangkitkan dalam kes berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial