EKONOMI

UPS Buka Pusat Pembungkusan Baharu Di Pulau Pinang, Perluas Hab Lapangan Terbang

08/10/2025 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- United Parcel Service (UPS), iaitu sebuah syarikat logistik global  telah membuka pusat pembungkusan baharu seluas 20,000 kaki persegi di Taman Sains Pulau Pinang Utara, Pulau Pinang.

Pembukaan pusat pembungkusan itu bertujuan mengembangkan hab sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, sekali gus meningkatkan kapasiti pemprosesan dan kecekapan penghantarannya.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan UPS berkata pusat baharu itu akan melanjutkan waktu pengambilan bagi penghantaran ekspres dan pengangkutan ekspres seluruh dunia di lapan kawasan terlibat.

“Waktu pengambilan di beberapa kawasan termasuk Butterworth, Batu Kawan dan Bayan Lepas telah dilanjutkan sehingga dua jam, memberikan pelanggan lebih masa untuk menyediakan penghantaran keluar.

“Penghantaran ke kawasan perniagaan di Batu Kawan, Perai, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah juga akan diselesaikan lebih awal,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan oleh UPS itu tiba tepat pada masanya ketika perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan peralihan corak perdagangan global dan perubahan rantaian bekalan. 

“Pusat pembungkusan baharu di Pulau Pinang dan hab lapangan terbang yang diperluaskan itu dilengkapi dengan automasi termaju, selain gudang pemprosesan pintar, sekali gus ia akan membantu meningkatkan daya tahan serta kecekapan syarikat Malaysia untuk bersaing dalam sektor kritikal masa seperti semikonduktor dan elektronik,” katanya. 

Beliau berkata MIDA, iaitu agensi penggalakan pelaburan kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, juga kekal komited untuk membangunkan gudang pintar dan penggunaan automasi dalam sektor logistik di Malaysia.

“Keyakinan berterusan UPS terhadap Malaysia mengukuhkan usaha kami untuk membina ekosistem rantaian bekalan yang lebih pantas bagi menjadikan negara sebagai hab pilihan untuk pelaburan global bernilai tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan UPS Malaysia Ingrid Sidiadinoto berkata waktu pengambilan yang dilanjutkan akan memberikan pelanggan lebih fleksibiliti dalam menguruskan penghantaran mereka.

“Hab lapangan terbang kami yang dipertingkatkan membolehkan kami memproses penghantaran dengan lebih cekap apabila ia tiba atau berlepas dengan salah satu daripada 11 penerbangan mingguan UPS yang beroperasi di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata perniagaan di seluruh dunia sedang menilai semula rantaian bekalan mereka untuk mengukuhkan daya tahan, dan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima manfaat daripada peralihan ini, dengan Pulau Pinang memainkan peranan utama. 

“Kami berada di sini untuk membantu pelanggan kami memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia untuk mereka dan teruja dengan potensi pertumbuhan masa depan bagi perniagaan di Pulau Pinang,”  tambah Sidiadinoto.

Dalam pada itu, perkembangan terbaharu itu menyusuli siri penambahbaikan rangkaian oleh UPS di Malaysia, seperti perkhidmatan terbaharu yang dilancarkan di Johor pada Mei 2025, yang menawarkan penghantaran hari berikutnya di rantau Asia Pasifik dan penghantaran dua hari ke dan dari Eropah dan Amerika Syarikat.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan