DUNIA

Ramos-Horta: Keperbagaian Budaya Dan Masyarakat Timor-Leste Akan Perkaya ASEAN

08/10/2025 02:39 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Presiden Jose Ramos-Horta menegaskan bahawa kepelbagaian budaya, kebebasan media dan keterangkuman sosial Timor-Leste akan menjadi aset berharga yang mengukuhkan serta memperkayakan ASEAN apabila negara itu menyertai blok serantau berkenaan.

Penerima Hadiah Keamanan Nobel itu berkata identiti Timor-Leste terletak pada rasa hormat terhadap semua komuniti tanpa mengira agama atau etnik.

“Di Timor-Leste tiada majoriti atau minoriti. Semua rakyat adalah setara di sisi Perlembagaan dan undang-undang, dan prinsip ini dilaksanakan dalam amalan. Seorang daripada pemimpin penting kami ialah seorang Muslim berketurunan Arab, manakala speaker parlimen kami mempunyai darah keturunan Cina.

“Masyarakat Timor-Leste ialah masyarakat yang beradab dan benar-benar inklusif,” katanya dalam temu bual khas rancangan Bernama TV Timor-Leste’s Next Chapter: With ASEAN and Malaysia.

Temu bual prarakaman yang disiarkan pada Rabu itu dikendalikan oleh penyampai dan Ketua Program Bernama TV, Gerard Ratnam.

Ramos-Horta turut menekankan kekayaan linguistik negaranya sebagai satu lagi sumbangan kepada ASEAN, dengan bahasa Tetum dan Portugis sebagai bahasa rasmi, manakala bahasa Inggeris dan Bahasa Indonesia digunakan sebagai bahasa kerja.

“Anak muda kami mampu bertutur dalam pelbagai bahasa, ramai yang boleh bercakap lima atau enam bahasa termasuk Sepanyol, Cina dan Korea. Rakyat Timor-Leste bersifat ingin tahu, gemar belajar dan sangat terbuka untuk berinteraksi dengan warga asing. Itulah kekayaan kami,” katanya.

Presiden itu turut menegaskan bahawa Timor-Leste menikmati menikmati “kebebasan media dan hak politik tanpa had.”

“Tiada wartawan yang pernah dipenjara di Timor-Leste, dan tiada organisasi media pernah ditutup atas tuduhan fitnah. Namun saya sentiasa mengingatkan wartawan supaya membuat penyiasatan menyeluruh sebelum menerbitkan laporan. Setiap perkataan membawa makna, dan laporan yang cuai boleh mencetuskan ketegangan hingga membawa kepada keganasan,” katanya.

Beliau berkata nilai-nilai Timor-Leste amat selaras dengan visi ASEAN untuk “tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” sambil menekankan bahawa keterangkuman perlu melangkaui aspek pembasmian kemiskinan bagi memastikan kumpulan minoriti tidak terpinggir atau dilupakan.

Ramos-Horta turut memberi amaran terhadap penyalahgunaan teknologi, dengan menyingkap tragedi lalu apabila propaganda menjadi pencetus genosid dan konflik, sambil menegaskan bahawa dalam era media sosial dan kecerdasan buatan, tanggungjawab dalam komunikasi amat penting.

Mengenai legasi peribadinya, Ramos-Horta berkata: "Sepatutnya tidak ada kanak-kanak yang kelaparan, tiada kanak-kanak yang kekurangan zat makanan, dan tiada keganasan domestik di rumah atau di sekolah. Itulah legasi yang ingin saya tinggalkan."

Negara termuda di Asia Tenggara itu dijangka secara rasmi diterima sebagai anggota ASEAN ke-11 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002, secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011.

Penyertaan ini akan menjadi satu pencapaian penting bagi blok serantau itu, menjadikan Timor-Leste anggota baharu pertama selepas 26 tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan