KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Tiga muka baharu antara lima individu yang menerima surat pelantikan sebagai anggota Majlis Penyeliaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkuat kuasa 1 Sept 2025 hingga 31 Ogos 2027.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid dilantik sebagai Yang Dipertua majlis berkenaan menggantikan Datuk Muhammad Jamil Hussin, juga Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang tamat tempoh pelantikan.
Azhar, 61, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Anak jati Batu Pahat, Johor itu pernah menyandang beberapa jawatan penting sejak tahun 1989 termasuk sebagai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara serta Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu.
Dua lagi muka baharu yang menganggotai majlis itu ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed serta Ketua Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor Anand Kumar Selvam.
Sementara itu, dua anggota majlis yang dilantik semula ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa sebagai wakil Kerajaan Malaysia manakala Pengarang Kumpulan New Straits Times Farrah Naz Abd Karim sebagai wakil organisasi media di Malaysia.
Pelantikan mereka mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim manakala surat pelantikan disampaikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam satu majlis di Wisma Bernama di sini hari ini.
Majlis Penyeliaan Bernama berperanan memastikan agensi berita itu sentiasa mematuhi peruntukan Akta BERNAMA 1967 dalam melaksanakan objektif dan peranannya.
Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan surat pelantikan kepada Pengerusi dan 20 anggota Lembaga Pengelola Bernama yang akan berkhidmat bagi tempoh sama.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Setiausaha Majlis Penyeliaan/Lembaga Pengelola Sharifah Zaini Syed Zain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial