FOKUS BERNAMA

Indai 'Penenun Mimpi' Martabat Identiti, Warisan Iban Ke Persada Antarabangsa

08/10/2025 12:01 PM
Daripada Erda Khursyiah Basir

Ralit sungguh wanita berusia 80 tahun itu menghadap alat tenun dengan jari-jemarinya tangkas menyusun benang demi benang untuk dijadikan tenunan pua atau tenunan ikat, yang menjadi lambang identiti serta warisan turun-temurun nenek moyangnya.

Digelar ‘Penenun Mimpi’, Bangie anak Embol atau lebih mesra disapa Indai (bermaksud ibu dalam bahasa Iban) hakikatnya bukan sekadar menenun benang untuk dijadikan tenunan pua (pua kumbu) bagi menghasilkan pakaian tradisional ataupun kain hiasan seperti alas meja dan katil. 

Lebih daripada itu, anak jati Kampung Ulu Sungai Kain, sebuah perkampungan terpencil yang kaya dengan flora, budaya dan adat resam masyarakat Iban, sebenarnya menterjemah maksud mimpi yang dialaminya ke dalam setiap motif yang dihasilkan pada kraf tekstil itu.

 

BERMULA UMUR 10 TAHUN

Penulis serta dua lagi rakan media berkesempatan bertemu dengan Indai ketika berkunjung ke rumah panjang Rumah Gare Sungai Kain ketika mengikuti program Jelajah Kraf Malaysia (Kapit, Sarawak) anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) pada Ogos lepas.

pic-2

Turut serta dalam siri jelajah itu Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk ‘Ainu Sham Ramli.

Perjalanan ke Rumah Gare Sungai Kain menerusi jalan darat menaiki pacuan empat roda secara konvoi itu juga disertai antaranya Polis Daerah Kapit dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kapit, mengambil masa kira-kira satu setengah jam yang majoritinya di atas laluan ‘off-road’ dari pekan Kapit.

Rumah panjang itu diduduki oleh kira-kira 500 penghuni yang kebanyakannya mempunyai talian persaudaraan dengan aktiviti tenunan pua sebagai punca ekonomi utama mereka.

Indai yang tidak fasih berbahasa Melayu dibantu oleh ahli keluarganya sebagai penterjemah ketika sesi temu bual. Ibu kepada lima orang anak, 18 cucu dan 20 cicit itu bagaimanapun ramah menjawab setiap soalan dengan bibir sentiasa mesra mengukir senyuman. 

 Dilahirkan pada 8 Mei 1945, Indai generasi keempat yang mewarisi kemahiran tenunan pua, mengikuti jejak langkah nenek serta ibu angkatnya yang merupakan penenun tradisional, seawal usia 10 tahun.

Ketika kanak-kanak lain sibuk bermain, Indai sebaliknya belajar menenun dan ketika menginjak usia remaja, bakatnya semakin menyerlah apabila mampu menghasilkan tenunan yang cukup halus, teliti dan kemas, seolah-olah dihasilkan oleh penenun berpengalaman.

“Setiap hari, seawal 5 pagi, Indai akan mula duduk di kerusi kecil berwarna merah di depan alat tenunan tradisional pua, memulakan kerja-kerja menenun.

“Dia akan leka berjam-jam dan hanya berhenti rehat pada tengah hari dan menyambung kembali kerja-kerjanya hingga lewat petang. Walaupun sekarang penglihatan kurang jelas dan tidak lagi seperti dulu, semangat serta minatnya tak pernah pudar,” demikian menurut anak bongsu Indai, Rosnah Abdullah @ Rose anak Timbang, 56, kepada kami.

 

JIWA DAN RAGA PADA TENUNAN PUA

Pendek kata, sejak berpuluh-puluh tahun, seluruh jiwa dan raga wanita ini diabdikan untuk tenunan pua, melayakkannya diiktiraf sebagai Tokoh Kraf Negara 2024 (Tenunan Pua) yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam bidang seni kraf Malaysia selain menerima Anugerah Karyawan Seni Kraf pada Anugerah Seni Negara 2024. 

pic-3

Bagi Indai, setiap helaian pua kumbu yang dihasilkan, sama ada bersaiz kecil atau besar, bukan sekadar hasil seni tetapi lebih daripada itu. Setiap satu merupakan medium penceritaan mengenai asal usul, adat dan spiritual kaum Iban.

“Saya bukan hanya menenun kain sebaliknya ilham yang diperoleh daripada mimpi, sejarah dan jiwa suku kaum saya. Tenunan pua ini menjadi simbolik kepercayaan dan cerita nenek moyang suku kaum Iban.

“Dalam budaya suku kaum Iban, mimpi sering dianggap sebagai petunjuk spiritual dan Indai mempunyai keistimewaan dalam menterjemah petunjuk itu ke dalam corak yang bukan sahaja menarik bahkan mampu memukau mereka yang bijak ‘membaca’ kisah yang tersirat di sebaliknya,” kata Indai, seperti yang diterjemahkan oleh cucunya, Lyndy Kisla anak Gare atau Lyndy, 41.

Motif yang menjadi kegemaran Indai termasuklah Puteri Duyung (ikan duyung), Tangga Beji (anak tangga) dan Matahari Sempuyuh (gerhana matahari), selain naratif visual yang kaya dengan motif alam dan unsur mistik antaranya paku pakis, engkarung (mengkarung), buaya, figura manusia dan simbol-simbol yang muncul dalam mimpinya.

Selain itu, motif bentuk bungai nuing, bunga rang jugah, buah gelanggang langit, bunga buah sepuyong dan bunga bali kelikut pula bukan sahaja menggambarkan keindahan flora dan fauna, bahkan mencerminkan nilai-nilai kehidupan yang hanya difahami oleh mereka yang dekat dengan budaya suku kaum Iban.

 

CORAK ASLI, UNIK TIDAK BOLEH DITIRU

Di samping sarat dengan nilai tradisi dan estetika, keupayaan Indai mencipta corak dan motif asli yang tidak boleh ditiru menjadikan hasil tenunannya cukup eksklusif, unik, bersifat sentuhan peribadi selain turut digelar sentuhan “tangan emas”. 

pic-4

Seiring dengan permintaan semasa, Indai menggabungkan motif tradisional dan kontemporari dalam rekaannya tanpa menjejaskan keaslian termasuk mesej dan nilai penceritaan yang ingin disampaikan.

“Perkara itu sekali gus membuktikan, meskipun berpegang teguh pada teknik dan nilai asas penghasilan pua, Indai pada masa sama tidak menolak inovasi, termasuk menggabungkan penggunaan benang sutera dan kapas bagi memenuhi kehendak pasaran,” kata Lyndy.

Berkongsi antara proses tenunan pua, proses menggirit (menarik benang) dilakukan dengan membawa mangkuk yang berisi benang dari bahagian kiri alat tenunan dan dibawa dari bawah ke atas, diselitkan anak-anak kayu (batang kayu kecil) di antaranya bagi memudahkan proses menggarap (proses silang semasa menenun).

Selepas itu, kayu-kayu benang akan diikat berpandukan corak yang dikehendaki dengan tali rafia bagi memastikan ikatan tidak diserap oleh warna apabila proses mencelup pewarna dilakukan.

Kemudian, benang yang telah diikat dikeluarkan, direndam dan dibilas dengan air, seterusnya dicelup ke dalam bahan pewarna mengikut warna yang dikehendaki. 

Benang yang telah dibuka ikatan akan dipasang pada rumah tenun dan selepas selesai menggirit bahagian tepi kain, bermulalah proses menenun benang sehingga menjadi pua.

Indai turut memiliki kepakaran dalam proses mewarna semula jadi, satu kemahiran yang semakin pupus lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda pada hari ini.

“Menggunakan sumber alam semula jadi, Indai masih menggunakan akar pokok mengkudu dan akar penawar landak, daun tarum dan kulit kayu daripada tumbuh-tumbuhan umpamanya yang diperoleh di kawasan sekitar dan diproses menjadi pewarna asli.

“Dengan gelaran ‘Indu Tau Nakar Tau Ngar’ (wanita yang mahir dalam pewarnaan asli), Indai memainkan peranan penting dalam memastikan kaedah tradisional pewarnaan benang terus dipelihara,” katanya.

Menurut Lyndy lagi, antara warna yang dihasilkan ialah perang kemerah-merahan, biru tua dan merah.

“Indai mengekalkan teknik tradisional bagi menjamin warna yang asli, tahan lebih lama dan tidak luntur, di samping menghormati hubungan antara manusia dan alam,” katanya, menambah Indai sebelum ini turut memproses sendiri benang daripada pokok kapas yang ditanamnya.

 

UPACARA NGAR RITUAL WAJIB

Berkongsi upacara yang wajib dilakukan dalam proses terawal pembuatan tenunan pua, ritual khusus yang dikenali sebagai upacara “ngar” merupakan satu ritual memuja benang dalam kalangan masyarakat Iban.

pic-5

Walaupun upacara ini khusus untuk wanita Iban, tidak semua wanita berpeluang melakukan upacara berkenaan kecuali mereka didatangi roh nenek moyang atau dewa-dewi dalam mimpi yang mengarahkan mereka melaksanakan ritual tersebut.

Upacara yang memakan masa kira-kira dua minggu ini dikatakan melibatkan komunikasi dengan roh nenek moyang mereka .

Menurut Rosnah, Indai merupakan satu-satunya pewaris dalam keluarga mereka yang bukan sahaja memiliki keupayaan menenun melalui ilham mimpi, bahkan berkemampuan memahami maksud rohani di sebalik setiap helaian kain.

“Pada usia 40 tahun, Indai telah menjadi penenun mimpi termuda dalam sejarah kaum Iban yang diberi tanggungjawab besar memimpin upacara tersebut dan memastikan ia dijalankan mengikut prosedur yang betul. Perkara itu bukan sahaja mengangkat status Indai sebagai penenun terulung, malah sebagai penjaga warisan spiritual kaum Iban.

“Dulu saya sendiri tidak percaya bila Indai ceritakan kisah dewa-dewi ini, tapi apabila dapat merasai sendiri (melihat sewaktu upacara ngar), maka saya faham dan menghormati. Ringkasnya, dewa-dewi akan muncul dalam mimpi wanita Iban untuk mengajar mereka seni tenun bermotif,” kata Rosnah, menambah ritual itu tidak boleh dilakukan secara sembarangan sebaliknya penuh adat dan kehormatan.

 

PELAPIS PENERUS LEGASI

Indai banyak meraih pencapaian, antaranya sebagai Adiguru Kraf Tenun Pua (dilantik oleh Kraftangan Malaysia pada 2000), memenangi Pertandingan Pewarnaan Asli anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Bangkok pada 1998, menyertai demonstrasi dan pameran di Singapura, Bangkok, Manila, Paris dan Sweden serta sebagai Sarawak Living Legend Heritage of Ikat Weaving 2019, selain merupakan penerima Anugerah Benang Emas Hasanah 2023.

pic-6

Hasil tangannya bukan sahaja mendapat permintaan tinggi daripada pembeli tempatan, malah turut dihargai oleh peminat seni kraf antarabangsa yang sanggup membayar pada harga tinggi untuk setiap helai pua kumbunya yang unik.

Berpegang bahawa ilmu dan kemahiran perlu diwariskan, Indai pada masa sama aktif mengadakan bengkel, kursus dan kelas bimbingan untuk melatih generasi baharu menenun pua mengikut kaedah tradisional.

Beliau turut melatih peserta daripada Kraftangan Malaysia serta pertubuhan seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban Association (SADIA). Lebih membanggakan Indai apabila anak, menantu dan cucunya turut sama meneruskan legasi itu.

“Harapan Indai supaya semua golongan tanpa mengira lelaki atau perempuan, mampu menghasilkan tenunan pua ini. Dia harap agar tenunan pua ini lebih meluas ke peringkat yang lebih tinggi, tidak ditelan zaman dan anak-anak muda khususnya dapat meneruskan legasi ini.

“Dahulu tenunan pua ini kalau ada perayaan seperti Gawai, upacara miring (ritual tradisional masyarakat Iban, majlis persembahan makanan kepada tuhan dan nenek moyang), kematian sebagainya baru guna tenunan pua.

“Tetapi sekarang penggunaannya lebih universal dan sesuai digayakan dalam banyak majlis dan juga dijadikan hiasan bernilai tinggi. Indai sangat gembira apabila produk sentuhannya semakin meluas hingga ke luar negara dan diterima ramai,” kata Lyndy. 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan