KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Menunaikan ibadah haji pada usia muda merupakan waktu paling sesuai kerana ia menuntut kekuatan fizikal, mental dan rohani, kata Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.
Beliau berkata golongan muda lazimnya memiliki tahap kesihatan dan tenaga yang lebih baik, serta mampu menyesuaikan diri dengan cabaran ibadah haji yang memerlukan ketahanan fizikal dan emosi.
Asmadi yang juga Profesor di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia berkata sehubungan dengan itu, generasi muda perlu sentiasa menanamkan niat dalam hati untuk menunaikan haji, walaupun belum berkemampuan, kerana Allah menilai keikhlasan dan usaha setiap hamba-Nya.
Pada masa, sama beliau berkata persiapan dari segi ilmu, kewangan dan rohani juga sangat penting sekiranya mereka berhasrat untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Orang muda lebih cepat menyesuaikan diri, kurang bebanan tanggungjawab dan dengan niat yang ikhlas serta ketaatan kepada Allah, haji yang ditunaikan akan menjadi lebih khusyuk dan bermakna. Cuma cabarannya mereka kena mempunyai ilmu mencukupi.
“Setiap individu wajib memahami hukum dan syarat-syarat haji, serta adab ketika berada di Tanah Suci. Belajarlah secara bersemuka dengan guru bertauliah atau secara digital melalui platform yang sah dan diiktiraf. Jangan pergi haji dalam keadaan solat pun masih tidak sempurna,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Mengulas tentang penggunaan pendekatan digital sebagai salah satu cara pembelajaran pula, beliau berkata umat Islam perlu memilih sumber yang sahih dan diiktiraf, seperti platform yang disediakan oleh Tabung Haji mahupun laman rasmi Jabatan Agama negeri masing-masing.
“Yang penting ialah siapa yang memberi pengisian itu, bukan sekadar medium pembelajaran. Pastikan sumbernya betul dan diiktiraf. Media sosial boleh jadi alat bantu, tetapi jangan abaikan bimbingan guru dan pakar bertauliah,” katanya.
Menyentuh tentang aspek kewangan, beliau menggalakkan golongan muda menabung secara konsisten sejak awal dan menyisihkan sebahagian daripada pendapatan ke dalam akaun Tabung Haji sebagai persiapan menunaikan ibadah tersebut.
“Jika sudah mempunyai simpanan mencukupi dan diberikan kuota, maka wajib menunaikan haji walaupun masih muda. Keutamaan adalah pada cukupnya syarat istito’ah (berkemampuan),” katanya sambil memaklumkan mengerjakan haji itu adalah wajib apabila cukup syarat, tanpa mengira usia.
Selain itu, beliau menasihati bakal jemaah agar tidak terlalu bimbang soal kuota, kerana ia di luar kawalan individu sebaliknya memanfaatkan tempoh ini sebagai persediaan rohani agar ibadah lebih sempurna apabila tiba giliran.
Tabung Haji dilaporkan akan mengeluarkan surat tawaran mengerjakan ibadat haji kepada bakal jemaah bagi musim 1447H/2026M, pada Oktober ini dan mengeluar surat tawaran lebih awal itu dilakukan berikutan ramai dalam kalangan bakal jemaah tahun ini yang berada dalam giliran, terpaksa menolak tawaran berikutan tidak bersedia dalam aspek kewangan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Mustakim Mohamad dalam satu kenyataan berkata semua bakal jemaah haji diingatkan supaya mengemas kini segera profil maklumat peribadi, bagi memastikan proses komunikasi dan tawaran haji musim 1447H/2026M berjalan lancar.
Mustakim berkata berdasarkan rekod institusi kewangan Islam itu mendapati, sejumlah 521 bakal jemaah haji dalam senarai giliran tidak dapat dihubungi, sekali gus menjejaskan kelancaran penyampaian maklumat penting berkaitan persediaan dan pengurusan ibadat haji.
Sehubungan itu, Tabung Haji turut menggesa semua pendeposit, terutamanya bakal jemaah haji dalam senarai giliran untuk mengambil tindakan segera, dengan hadir ke pejabat cawangan terdekat atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
Beliau berkata semua bakal jemaah haji juga boleh menyemak giliran menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M di platform THiJARI atau di pejabat cawangan Tabung Haji di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial