Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh, permintaan stabil dan keyakinan terhadap kemajuan Indonesia dalam program biodiesel B50.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang beribu pejabat di Mumbai Anilkumar Bagani berkata sentimen menjadi semakin baik selepas Indonesia menyelesaikan ujian campuran biodieselnya yang mengandungi 50 peratus kandungan minyak sawit, yang dijangka meningkatkan penggunaan komoditi itu dalam jangka panjang.
"Pasaran juga menerima sokongan daripada pengukuhan harga minyak mentah serta minat belian yang berterusan dari India," katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Oktober 2025 naik RM21 kepada RM4,406 satu tan, November 2025 meningkat RM36 kepada RM4,444 satu tan, dan Disember 2025 menambah RM33 kepada RM4,470 satu tan.
Kontrak Januari 2026 menokok RM35 kepada RM4,488 manakala Februari 2026 dan Mac 2026 masing-masing menambah RM36 kepada RM4,483 satu tan dan RM4,461 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 55,737 lot daripada 45,567 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menokok kepada 276,188 kontrak daripada 272,369 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan naik RM10 kepada RM4,440 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial