AM

PHA Harap Penyerahan Rumah Mampu Milik Dipercepat

07/10/2025 08:45 PM

GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) berharap kerajaan negeri akan mempercepat penyerahan unit rumah mampu milik ekoran kebimbangan terhadap peningkatan jumlah keluarga yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan kediaman bersesuaian. 

Presiden PHA P. Murugiah berkata permohonan terhadap bantuan rumah melonjak dalam beberapa tahun ini, mencerminkan kesukaran dihadapi golongan berpendapatan rendah berikutan peningkatan kos sara hidup dan sewaan. 

“Sebagai organisasi yang sering membantu mereka memerlukan, kami bimbang dengan bilangan keluarga mempunyai anak ramai yang tidak mampu membayar sewa bulanan. Ada juga yang terpaksa membuat pinjaman untuk menyelesaikan tunggakan, sekali gus berisiko menjadi gelandangan,” katanya. 

Murugiah berkata demikian dalam kenyataan hari ini, yang dikeluarkan bersempena penganjuran Majlis Amal Deepavali PHA kali ke-26 yang berlangsung Ahad lepas. 

 Beliau berharap kerajaan negeri akan mempercepat sasaran pembinaan 200,000 rumah mampu milik menjelang 2030. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo yang merasmikan majlis itu berkata kerajaan negeri komited terhadap agenda rumah mampu milik dengan 170,000 unit telah dibina setakat ini. 

“Pulau Pinang mempunyai antara kadar penyampaian rumah mampu milik tertinggi di negara ini, dan kami sentiasa menambah baik proses permohonan untuk memastikan mereka benar-benar memerlukan bantuan ini diberikan keutamaan,” katanya. 

Pada majlis itu, sebanyak 150 keluarga miskin tegar dari Pulau Pinang dan Kulim, Kedah menerima bantuan barangan bernilai RM180 setiap satu, bantuan tunai dan kuih serta manisan sempena Deepavali. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan