KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Syarikat atau usahawan yang ingin menyertai tender atau projek kerajaan perlu mempunyai Sijil Pematuhan Cukai (TCC), iaitu sijil akuan status pematuhan pembayar cukai.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pungutan Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Azaharuddin Mohd Ali berkata pelaksanaan TCC meliputi pelbagai golongan pembayar cukai dan pembida seperti syarikat, koperasi, badan amanah, pertubuhan, perkongsian liabiliti terhad serta individu menjalankan perniagaan.
“Kalau hendak masuk tender atau projek kerajaan, semua kategori ini perlu mempunyai TCC terlebih dahulu. Dengan syarat ini, pihak yang patuh kepada undang-undang percukaian sahaja boleh berurusan dengan pihak kerajaan.
“Bila sebut TCC, ia adalah bukti hitam putih bahawa kita sudah mematuhi tanggungjawab dan kewajipan sebagai pembayar cukai. Justeru, sekiranya usahawan atau syarikat ingin memasuki tender kerajaan, TCC inilah yang menjadi “pasport utama” untuk membuka pintu peluang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Bernama Radio dalam program Klinik Cukai dengan topik “Nak Masuk Tender Kerajaan? Wajib ada TCC!
Azaharuddin berkata semakan status TCC boleh dilakukan dengan mudah melalui portal MyTax tanpa perlu membuat sebarang permohonan secara fizikal.
Mengenai syarat kelayakan, pembayar cukai perlu memastikan Borang Nyata Cukai Pendapatan dikemukakan setiap tahun mengikut tempoh ditetapkan serta tidak mempunyai tunggakan cukai atau sedang mematuhi jadual ansuran bayaran yang sah.
Menurutnya, TCC yang dikeluarkan sah selama setahun mengikut tahun kalendar semasa dan boleh disemak ketulenannya melalui imbasan kod QR pada aplikasi mudah alih MyTax.
Beliau berkata pengeluaran TCC juga berasaskan Nombor Pengenalan Cukai atau Tax Identification Number (TIN) yang perlu dimiliki setiap pembayar cukai.
“Kalau nak berniaga dengan kerajaan melalui tender, kontrak atau pembekalan, pastikan ada TCC. Prosesnya mudah – hanya log masuk ke Portal MyTax dan cetak sendiri.
“TCC bukan sekadar syarat, tapi bukti integriti dan pematuhan cukai buat semua pembayar cukai. Dengan TCC, kerajaan lebih yakin untuk bekerjasama. Jadikan TCC dokumen wajib anda. Patuh cukai, negara sejahtera, manfaatnya untuk kita bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput orang ramai untuk menyertai Seminar Percukaian Kebangsaan 2025 akan diadakan secara maya pada 14 Okt ini atau hadir di Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah dengan yuran penyertaan RM350 termasuk sijil dan mata CPD. Pendaftaran boleh dibuat di laman sesawang spk.hasil.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial