DUNIA

Angka Kematian Runtuhan Bangunan Sekolah Agama Di Indonesia Meningkat Kepada 61

07/10/2025 12:41 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 7 Okt (Bernama) -- Angka kematian akibat runtuhan bangunan di Sekolah Pondok Al Khoziny, Sidoarjo, Jawa Timur meningkat kepada 61 orang.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tujuh bahagian tubuh mangsa telah dihantar kepada pasukan pengecaman mangsa bencana (DVI).

Timbalan Ketua Pengurusan Kecemasan BNPB, Budi Irawan berkata dalam sidang media pada Selasa bahawa rekod kehadiran menunjukkan dua pelajar masih belum ditemukan dan dipercayai mungkin antara mangsa yang telah dijumpai.

“Kawasan berkenaan kini telah diratakan dan kemungkinan tiada lagi mayat yang berada di sana,” katanya.

Budi menjelaskan bahawa daripada 167 orang yang terlibat dalam insiden itu, 104 berjaya diselamatkan.

Daripada jumlah itu, empat mangsa telah menerima rawatan, 99 masih dirawat di hospital, seorang tidak memerlukan rawatan, manakala dua pelajar masih belum ditemukan.

Bangunan empat tingkat itu runtuh pada petang Isnin lalu ketika pekerja sedang menuang konkrit di tingkat atas, mengakibatkan pelajar dan pekerja binaan tertimbus di bawah runtuhan.

Pihak berkuasa menyatakan kegagalan struktur bangunan dipercayai menjadi punca utama kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan